Monday 29 August 2011

Syawal Menjelma...

Syawal...syawal...syawal

Alhamdulillah....hanya itu aje yang mampu Uqhti' Cinta iLahi katakan!!!

Saturday 27 August 2011

Hidup Ini Memang Begitu Part 3 (final)

Dunia sememangnya medan air mata. Seawal kelahiran manusia sahaja adalah disulam dengan teriak tangisan. Berkuak awal kehidupan adalah diiringi tangisan dan air mata. Tidak ada yang lahir di dunia ini bersama dengan ketawa dan hilai ria. Begitulah yang bakal ditempuhi dalam langkahan di kembara kehidupan. Segalanya adalah curahan musibah dan tangisan. Demikian pula perjalanan akhir kehidupan manusia akan ditutup dengan tangisan. Sewaktu jenazah telah terkujur di kasur duka, sekeliling adalah esak dan air mata! Benarlah! Dunia adalah medan air mata…


Justeru, fahamilah dengan sebaiknya maksud yang tersirat daripada kehendak-Nya. Allah berfirman; “Dilah menjadikan mati dan hidup untuk menguji kamu siapa yang paling baik amalannya.” (At-Tahrim: 2)


Bergembiralah dalam memijak kerikil-kerikil yang sukar dalam kembara ini. Sahara kehidupan yang membahang ini adalah janji kenikmatan di puncak kesabaran. Maka rasailah kasih-Nya di saat engkau derita, lantaran kasih Ilahi itu sememangnya akan ditemui dalam kepedihan musibah.


Untuk itu, janganlah kita terlalu sukar buat mengisi kotak-kotak dalam silang kata kehidupan ini. Dengan nikmat yang diperolehi, syukurlah. Dengan ujian yang dihadapi, sabarlah! Sungguh, hidup ini memang begitu…●●●


.:: Ketika Cinta ::.

Ada tiada rasa dalam jiwa,
Rindu akan memanggil-MU,
Kerana setia jiwa telah bersumpah,
Setia hanyalah kepada-MU.

Bila cinta ada di dalam jiwa,
Wangi bunga dunia tanpa nestapa,
Segala yang dirasa hanyalah Dia,
Hati akan memuja hanya pada-Nya.

Ketika cinta memanggilGementar tubuhku,
Ketika cinta memanggilHangatnya nafasku,
Ketika cinta memanggilMenderu sang rindu,

Ketika cinta memanggil

Rindu
Rindu
Rindu kalbu
Memanggil-manggil nama-MU.

Seperti terbang di langit-MU,
Tenggelam di lautan cinta-MU.

Bertabur kalbu yang rindu,
Melebur menjadi satu,
Bagai menari diiringi pelangi,
Ketika iman memanggil.

Ya Allah



Hidup Ini Memang Begitu Part 2

Awas! Jangan terjebak di jaring kelalaian sewaktu diri diselimuti keindahan. Disaat dirimu di ulit kenikmatan, tundukkan hati di mihrab kehambaan. Hamba yang bersyukur dengan nikmat, akan menggunakan seluruh kenikmatan tersebut bagi mentaati-Nya!.


Wah! Kita resah pula lantaran sengsara yang di tanggung! Kita hilang pertimbangan sewaktu dilambung gelombang ujian. Kita menjadi tidak tentu arah lantaran musibah yang bertandang. Mmemanglah, berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Di saat kita di uji, terasa segalanya membahang dan menyeksa. Segalanya serba menyakitkan.


Namun, jadilah insan terbaik. Dalam gelombang ujian hidup yang menyeksa ada maksud tersirat yang hebat daripada-Nya. Dalam sengsara yang ditanggung kerana di hempas badai ujian, ia bermaksud supaya kita beroleh pahala kesabaran!.


Lihatlah hikmah daripada kejadian. Perhatikan yang tersirat daripada apa yang tersurat. Ujian yang diberi, adalah untuk menghapus koleksi dosa-dosa dalam kehidupan. Dia bermaksud “menyeksa” kita di sini supaya jangan kita terazab nanti di SANA! Malah ukuran cinta Allah adalah tersangat ajaib. Semakin hebat cinta-NYA kepada para hamba, semakin dashyat curahan ujian akan menimpa.


wallahu alam…

Friday 26 August 2011

Muhasabah Syawal !!!


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Segala puji bagi Allah yakni tuhan semesta alam. Segala kesudahan yang baik ( akhirat) hanya kepada orang-orang bertaqwa. Tiada sebarang permusuhan melainkan mereka yang zalim.

Aku bersaksi tiada tuhan melainkan Allah dan tiada sekutu bagi-NYA. Aku bersaksi Nabi Muhammad itu hamba dan pesuruh-NYA, kepada keluarga, para sahabat dan kepada isteri-isteri baginda.Dialah penguasa dan Maha Kuasa iaitu Allah yang merupakan tempat berserah diri.

Selawat serta salam kepada Nabi Muhammad, keluarga dan para sahabatnya.

Alhamdulillah…kita baru sahaja berlangsung melaksanakan ibadah puasa untuk hari yang ke-26. Sebentar lagi dalam beberapa hari sahaja, insya-Allah kita akan gembira menyambut ketibaan Syawal. Untuk itu, Uqhti’ Cinta iLahi ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Puasa, mina-‘al-aidin wa al-faizin buat sahabat dan ikhwan Cinta iLahi khususnya dan semua umat islam amnya tidak kira dipelosok mana tempat jua kedudukan mereka. Semoga Allah SWT menerima ibadah puasa kita semua dan melayakkan kita untuk mendapat syurga-NYA serta memasuki melalui pintu Rayyan. Amin



Antara perkara yang sepatutnya dilakukan pada Syawal…

.::  ZIARAH-MENZIARAHI ::.

Menjadi kelaziman pada bulan Syawal, kita akan saling ziarah-menziarahi dan kunjung-mengunjungi, di mana rumah terbuka diadakan bagi menyambut dan meraikan hari kemenangan setelah berpuasa selama sebulan. Namun harus di ingat, terdapat beberapa perkara yang perlu dan wajib dilaksanakan semasa aktiviti ini;-

i)                    Dalam ghairah berziarah, pakaian hendaklah menutup aurat.
ii)                  Elakkan bersalaman antara perempuan dan lelaki yang bukan mahram.
iii)                Elakkan daripada terlalu banyak memasang lagu-lagu raya yang melalaikan sebaliknya gantilah dengan lagu-lagu nasyid dan utamakan dengan bacaan Al-Quran.
iv)                Banyakkan memohon maaf antara satu sama lain dengan penuh keinsafan.

.:: MELAKUKAN IBADAH PUASA SUNAT ::.

Budaya masyarakat kita sudah berubah dimana perayaan menyambut hari raya sudah berubah daripada hari kepada bulan raya seolah-olah kita mengqada hari raya selama sebulan sebagai ganti kepada kepada puasa bulan Ramadhan yang lalu. Ini menyebabkan kita tidak ada ruang dan masa untuk melakukan puasa sunat.

Sedangkan dalam hadis Riwayat Muslim bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dan mengiringinya dengan enam hari Syawal, maka seolah-olah dia berpuasa setahun”.

Ω.:: MERAIKAN GOLONGAN YANG KURANG BERNASIB BAIK ::.

Jangan sesekali kita melupai golongan yang tidak bernasib baik seperti fakir miskin, anak-anak yatim dan mereka yang berada dipembaringan kerana uzur. Alangkah baiknya sedikit perasaan ihsan dan insan kita tampilkan kepada mereka agar mereka sentiasa merasa dalam keberadaan kita dan seronok serta mendapat perhatian.

.:: MEMBACA SEJARAH ::.

Dalam hal ini, kita semua perlu melihat antara peristiwa yang berlaku dalam bulan Syawal misalnya, Peperangan Uhud. Cuba bayangkan, hari semasa masyarakat bergembira dengan kembali pada sejarah bagaimana Rasulullah SAW menghadapi serangan musuh yang mengakibatkan 70 orang sahabat syahid menemui Allah SWT dan berapa ramai lagi yang cedera.

Untuk itu, bacalah dan fahamilah dalam buku Fiqh al-Sirah. Kitab karangan Dr. Sa’id Ramadhan al-Buti ini dapat memberi iktibar yang  secara langsung dapat mencurahkan manfaat kepada kita semua.




Marilah kita sama-sama manfaatkan Syawal ini dengan menjadikan diri kita lebih hampir kepada Yang Maha Esa dalam semua tindakan. Amin… Selamat menyambut hari raya dengan pengisian takwa kepada Allah SWT.

wallahu alam…

Hidup Ini Memang Begitu Part 1

Sungguh! Hidup ini sememangnya adalah pergiliran antara senyum dan tangis. Janganlah hanya mengharap siang yang berkekalan, lantaran gelap malam pasti akan bertandang. Ia adalah ketetapan dalam kehidupan. Dia Yang Maha Esa telah menentukan demikian dalam janji-Nya. Kita hanyalah insan, akuilah, kita hamba yang tersangat kaya dengan kemiskinan. Kita sememangnya tersangat penuh dengan kekurangan. Sewaktu, kita teralpa pada terangnya siang. Sesekali, kita resah kerana gelapnya malam.



Jangan di biar hatimu dipanggang resah! Janganlah jiwamu berterusan dibakar gelisah. Fahamilah akan hakikat hidup ini. Lihatlah siratan hikmah dari setiap ketentuan. Senyum dan tangis yang dipergilir adalah untuk kita memperoleh kebaikan berpanjangan. Kita semua lantaran hidup yang bermandi kenikmatan. Kita ceria kerana kemewahan yang di kecapi. Segalanya adalah curahan nikmat daripada-Nya Yang Maha Pemurah!.

Nah … jadilah insan terbaik! Dengan kenikmatan yang diperolehi, maka bersyukurlah! Jangan terlalai dengannya. Jangan teralpa sewaktu menikmatinya. Jangan terlupakepada Allah yang member nikmat di saat engkau mengecap anugerah nikmat daripada-Nya.

Thursday 18 August 2011

Memahami makna disebalik "Insya-Allah"



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Assalamu'alaikum wahmatullahi wabarakatuh...


Apa khabar semua ikhwan' Uqhti' Cinta iLahi? Moga sentiasa dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan oleh Allah S.W.T.

Entry kali ini, untuk kesekian kalinya setelah agak lama juga Uqhti' tidak meng"update". Alhamdulillah, dengan kesempatan dan izin-NYA dapat Uqhti' berkongsi serba sedikit mengenai frasa “INSYA-ALLAH"…untuk lebih lanjut cuba baca entry kali ni dan harapan Uqhti' moga kita semua sama-sama mengambil ikhtibar darinya :-

Kita malu jika tidak mempunyai telefon bimbit yang hebat fungsinya biarpun tidak menggunakan fungsinya. Tetapi kita tidak malu dengan Allah S.W.T kerana tidak berhubungan dengan-NYA.

Mungkin ada yang mengatakan bahawa solat, doa dan wirid itu sudah memadai dalam berhubungan dengan Allah S.W.T. Ada kebenarannya, namun pernahkah kita melihat yang banyak kali terjadi dalam solat, doa dan wirid itu tiada hubugan dengan Allah S.W.T. Kita lebih mementingkan bentuk dari rasa. Adatnya manusia memang lebih tertarik dengan bentuk dari mengambil rasa dengan Allah S.W.T sebagai elemen utama. Dek kerana itu, kita perlu membuat labelling yang baik jika ingin menjual produk biarpun rasanya tidaklah seberapa.



Kita menjadi manusia yang elok pekertinya. Kita menjadi insan yang jauh dari kesombongan. Kita sentiasa ada waktu dalam mengurus hidup. Kita sentiasa tahu sama ada sesuatu perkara itu kehendak nafsu atau kehendak jiwa. Maka dari situ, insyaALLAH wang kita juga akan terjaga dan terkumpul.

Mulai hari ini, marilah kita tanamkan satu tekad baru. Tekad untuk selalu mendahulukan Allah S.W.T dalam setiap apa juga yang kita lakukan. Untuk Uqhti' sendiri, malahan kepada sahabat-sahabat juga ikhwan sekalian. Adanya tekad ini, insyaALLAH kita tidak akan mendahului keputusan Allah S.W.T. Keyakinan kita hanya kepada Allah S.W.T dan bukan pada usaha semata-mata.

Hari ini kita sering tersasar dari landasan kerana kita mendahului Allah S.W.T dalam banyak hal. Kita sering berkata yang kita pasti sedangkan kepastian itu milik hakiki Allah S.W.T. Kita sering menjadikan "insya-Allah" sebagai jalan keluar untuk memberi alasan sedangkan "insya-Allah" itu satu keperluan.



Dewasa ini juga, "insya-Allah" dijadikan sebab musabab untuk tidak melakukan sesuatu. Uqhti' pernah ditegur oleh sahabat Uqhti'..."janganlah Insya-Allah, pastikanlah..." lalu Uqhti' berkata "Insya-Allah itulah yang pasti kerana kita hanya tidak dapat hadir seandainya Allah S.W.T tidak mengizinkan. Seandainya Uqhti' tidak mahu pergi, maka dari awal lagi Uqhti' sudah berkata, Tengoklah dulu."

"Insya-Allah" bukan satu perkara yang boleh dijadikan mainan. "Insya-Allah" juga bukanlah kehendak melainkan keperluan. Marilah kita sama-sama mengubah persepsi "insya-Allah" dari apa yang sering kita fahami kepada apa yang sebenarnya.

Untuk itu, lebih mudahlah jalan bagi kita dalam memahami erti rasa dalam ibadah kita seharian. Bak kata iklan yang sering kita lihat dan dengar, lidah boleh tipu tetapi rasa tidak. Makanya apabila ada rasa, lidah akan menjadi kelu, kehendak hilang nafsu, jiwa terus dipadu...Insya-Allah..Moga kita sentiasa dalam perlindungan-NYA.


wallahu alam...

Wednesday 10 August 2011

Wahai Anakku Muhammad!

Allah melimpahkan berkat
pada engkau,
Wahai anakku dari ibu,
yang sedang menghadapi maut.

Engkau,
diutus Allah kepada manusia
dalam lingkungan Halal dan Haram.
Engkau dibangkitkan Allah
membantu tauhid dan Iman
agama nenek engkau Ibrahim.
Allah melarang engkau
tidak boleh mendekati berhala,
jangan bersama golongan itu.

{ Nukilan sajak Aminah binti Wahab, Ibunda Nabi Muhammad s.a.w. sewaktu akan wafat meninggalkan Muhammad yang berusia 6 tahun dan sedang bermain-main disampingnya.}

Tuesday 9 August 2011

.:: Ramadhan Kareem ::.

BAHANA "SUKA MEMINTA-MINTA"



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatu…

Alhamdulillah…Syukur kehadrat Allah kerana kita semua  mampu lagi menjalani ibadah dan perintah-Nya untuk Ramadhan hari yang ke-9 pada hari ini. InsyaALLAH, jika berkesempatan pada esok hari jua genap 10 hari kita melaksanakan ibadah berpuasa. Untuk itu, semoga kita semua dikurniakan rahmat agar mampu menamatkan perjalanan Ramadhan sehingga ke penghujungnya. Amin ya Allah…

Seperti biasa, doa Uqhti’ agar sahabat & ikhwan Qhazanah Cinta Ilahi  sentiasa dalam baraqa’ & perlindungan Allah…

Uqhti’ ingin bercerita berkenaaan sedekah di bulan Ramadhan ini khususnya. SEDEKAH yang paling besar pahalanya menurut Rasulullah SAW ialah ketika kita sihat, ketika kita ada rasa takut miskin, ketika kita mengharapkan akan menjadi seorang hartawan dan kaya raya. Pada ketika itulah kita harus segera bersedekah dan pahalanya sangat besar. Tetapi melihatkan kehidupan pada hari ini, Uqhti’ ingin bertanya adakah semua ini kita aplikasikan dan praktikkan dalam diari hidup kita? Tiada bukan? Kita semua lalai dan alpha dengan nikmat dunia sehinggakan kita melupakannya.



Dalam pada itu kita tidak digalakkan meminta sedekah tetapi di anjurkan memberi sedekah kerana tangan yang di atas lebih mulia daripada tangan yang di bawah. Ini membuktikan bahawa pemberi sedekah lebih mulia daripada penerima sedekah. Namun jangan pula apabila kita telah memberi, usahlah dijaja atau diwar-warkan kepada orang lain bahawa kita telah menghulurkannya, dalam erti kata lain memberi sedekah. Ini kerana sifat riak (menunjuk-nunjuk) dan takbur telah menutupi pahala yang dijanjikan Allah untuk pemberi sedekah berkenaan. Seboleh-bolehnya ibadah yang dilakukan  oleh tangan kanan tidak diketahui oleh tangan kiri.

Mereka yang sengaja meminta-minta, terutama dalam keadaan diri yang sebenarnya tidak lagi memerlukan sedekah harus menghayati 2 hadis berikut :-

I]  DARIPADA HAMZAH BIN ‘ABDULLAH (bin Umar) r.a daripada bapanya, katanya Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya orang yang peminta-minta, kelak di hari kiamat, dia akan dating menemui Allah dengan muka tanpa daging. (Hadis 1,000 daripada Kitab Terjemahan Hadis Muslim Jilid I, II, III & IV)

II] DARIPADA ABU HURAIRAH r.a katanya Rasulullah SAW bersabda: Siapa yang meminta-minta kepada orang ramai untuk mengumpul harta kekayaan, bererti dia meminta-minta bara api, sama sahaja halnya apakah yang diterimanya sedikit atau banyak. (Hadis 1,001 daripada Kitab Terjemahan Hadis Muslim Jilid I, II, III,& IV)

 sesungguhnya yang kurang itu datangnya dari Uqhti Cinta Ilahi, dan Allah jua la lebih dari segala-galanya… wallahu alam…

Sunday 7 August 2011

.:: HADAPILAH HIDUP SEBAGAIMANA ADANYA ::.

.:: Hidup…Hidup…Hidup…Ada apa pada hidup? Apakah itu hidup?Kita hidup untuk apa? Mengapa kita hidup dan bernyawa? Jikalau kita tidak hidup, dimanakah kedudukan kita sekarang ini?Allahu Akbar…Allah Maha Besar! Semua ini telah dicatatkan dan terencana oleh-MU ::.


Entry kali ini Uqhti' Cinta iLahi ingin berkongsi  berkenaan dengan HIDUP.

Keadaan dunia ini penuh nikmat, banyak pilihan, penuh rupa dan banyak warna. Semua ini bercampur baur dengan kecemasan mahupun kesusahan hidup. Dan kita adalah sebahagian daripada dunia yang sedang dalam kesukaran.

Ingatlah ! bahawa kita tidak akan menjumpai seorang ayah, isteri, suami, kawan, sahabat, tempat tinggal, atau pekerjaan yang padanya tidak terdapat sesuatu yang menyukarkan. Lebih daripada itu, adakalanya sebaliknya pada setiap hal itu terdapat sesuatu yang buruk dan tidak kita sukai. Justeru itu, padamkanlah panasnya keburukan pada setiap hal itu dengan sejuknya kebaikan yang ada padanya. Itu jika kita mahu selamat dengan adil dan bijaksana. Hal ini kerana betapa pun setiap luka itu ada harga dan nilainya.

Allah menghendaki dunia ini sebagai tempat bertemunya  dua perkara yang saling bertentangan, dua jenis yang bertentangan, dua kubu yang saling bertentangan dan dua pendapat yang  saling bertentangan yang baik dengan yang buruk, kebaikan dengan kerosakan, kebahagiaan dengan kesedihan. Dan selepas itu, Allah akan mengumpulkan semua yang baik, kebagusan dan kebahagiaan itu di Syurga. Walhal yang buruk, kerosakan dan kesedihan akan dikumpulkan di Neraka.Dunia ini terlaknat, dan semua yang ada di dalamnya terlaknat kecuali Zikir kepada Allah dan semua yang berkaitan dengannya, seorang yang alim dan seorang yang belajar –begitu kata hadis.

Maka jalanilah hidup ini sesuai dengan kenyatan yang datang, jangan hanyut dalam khayalan dan jangan sesekali menerawang ke alam angan-angan. Hadapi hidup ini apa adanya :- kawal jiwa kita untuk dapat menerima dan juga menikmatinya. Bagaimanapun, tidak mungkin semua kawan akan ikhlas kepada kita dan semua perkara sempurna pada pandangan kita. Kerana keikhlasan dan kesempurnaan itu bukan ciri dan sifat hidup dunia.

Adalah sebaiknya kita memaafkan dan berdamai semula, mengambil hal-hal yang mudah kita lakukan, meninggalkan hal-hal yang menyukarkan, menutup mata dari beberapa perkara untuk masa-masa tertentu, memperbetulkan langkah dan berbagai-bagai hal yang menganggu dan tidak perlu.

Kita umpama peminjam atau pun penyewa kepada dunia milik Allah yang hakiki. Oleh yang demikian, bersikap la seperti peminjam yang sebenarnya dengan menjaga dan memelihara sesuatu barang yang bukan kepunyaan kita. Suatu saat nanti, Empunya pemilik akan mengambil hak dan miliknya! Sentiasalah kita semua ber INGAT!

wallahu alam…

Friday 5 August 2011

ANTARA SAHABAT DAN IKHWAN

 بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Bismillahir rahmanir rahim...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatu…ahlan wasahlan wa marhaban bikum...

Jika sebelum ni, Uqhti' berbicara berkenaan Solat Sunat Teraweeh di Surau Al-Amin, salah sebuah surau di kawasan perumahan Uqhti'. Kali ini Uqhti berkongsi berkenaan cerita "Antara Sahabat dan Ikhwan". Dialog atau pun musyawarah antara Rasulullah s.a.w bersama sahabat-sahabat baginda.

Cuba ikuti cerita di bawah ini, mudah-mudahan ia sedikit sebanyak menambah”galeri ilmu kita” :-



Pada suatu hari terjadi percakapan di antara Rasulullah s.a.w dengan Abu Bakar Siddiq. Sahabat-sahabat yang lain pun ada mendengarkannya.

"Wahai Abu Bakar, begitu rinduku hendak bertemu dengan saudara-saudaraku (ikhwan)" berkata Rasulullah s.a.w.

"Wahai Rasulullah, bukankah kami ini teman-teman engkau?" jawab Abu Bakar.

"Bukan!" jawab Rasulullah s.a.w.

"Kamu ini adalah sahabat-sahabatku," selanjutnya Rasulullah s.a.w berkata, dan menegaskannya.
Keterangan Rasulullah itu sungguh menghairankan Abu Bakar, juga sahabat-sahabat lain yang hadir. Apakah bezanya antara sahabat dan ikhwan, siapakah yang dimaksudkan Rasulullah s.a.w itu dengan penuh kerinduan?. Demikian persoalan bermain dalam fikiran mereka dan suasana musyawarah menjadi lebih serius kerana masing-masing ingin tahu mengenainya, malahan ini persoalan yang belum pernah mereka dengar dari Rasulullah s.a.w.

Rasulullah segera memahami suasana yang ada bila keterangan baginda mengejutkan Abu Bakar dan sekalian sahabat yang ada di majlis itu. Maka, segeralah baginda menghuraikannya.

"ikhwan (saudara-saudara) ku."

"Mereka belum pernah melihat aku, tetapi mereka beriman dengan aku sebagai Rasulullah dan mereka mencintaiku. Aku dicintai melebihi dari anak dan orang-orang tua mereka."

"Ya Rasulullah, bukankah kami ini ikhwan engkau?" bertanya sahabat baginda, mereka masih merasa hairan dan ingin tahu penjelasan Rasulullah s.a.w selanjutnya.

"Kamu semua adalah sahabat-sahabatku," jelas Rasulullah s.a.w.

"Wahai Abu Bakar, adakah engkau tidak akan merindui kepada ikhwanku itu kerana mereka juga mencintai engkau kerana engkau sahabatku?" Demikian Rasulullah s.a.w menjelaskan perkara itu.

Begitulah Rasulullah menerangkan bahawa mereka itu adalah umat sesudah wafatnya baginda. Mereka itu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya walaupun mereka tidak pernah bertemu dengan baginda. Mereka membaca Al-Quran dan Hadis dan kerana itu mencintai Nabinya sebagai Rasul Allah yang penghabisan. Mereka juga mencintai Abu Bakar Siddiq dan sahabat-sahabat Nabi yang berjuang dalam menegakkan Islam.

Dalam satu waktu yang lain, baginda membicarakan kepada sahabat-sahabat tentang kemurnian iman ikhwan dan sekali lagi mereka berasa kehairanan dengan keadaan tersebut.
"Siapakah makhluk Allah yang paling ajaib imannya?" demikian Rasulullah bertanya kepada sahabat.

"Malaikat," jawab mereka.

"Bagaimana malaikat tidak beriman kepada Allah sedangkan mereka sentiasa hampir dengan Allah?" jawab baginda.

"Para Nabi," jawapan mereka lagi.

"Bagaimana Nabi tidak beriman kepada Allah sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka?" Rasulullah membantah jawapan mereka.

"Kami," jawab sahabat lagi.

"Bagaimana kamu tidak akan beriman sedangkan aku berada di tengah-tengah kamu?" jawab Rasulullah lagi.

Betapa hairannya para sahabat mendengarkan jawapan-jawapan Rasulullah s.a.w itu dan mereka sudah cukup memahaminya. Manakala Rasulullah sedia maklum betapa mereka amat ingin mengetahui siapakah makhluk ini, yang paling ajaib imannya.

"Makhluk yang paling ajaib imannya ialah mereka yang hidup sesudah aku. Mereka membaca Al-Quran dan beriman dengan semua isinya."
Rasulullah pernah menegaskan lagi tentang kemurnian iman ikhwan ini dalam sabdanya: "Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman dengan aku. Dan berbahagialah 7 kali orang-orang yang beriman dengan aku, tetapi tidak pernah berjumpa dengan aku."

Demikian Rasulullah s.a.w mencintai ikhwan itu.

wallahu alam...








masyaALLAH...indahnya ciptaan-MU

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
 
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatu…

Pejam celik pejam celik, tak terasa Ramadhan da masuk hari ke-6, terlalu pantas masa bergerak umpama kita baru sahaja menjalani ibadah puasa semalam. Apa khabar semua sahabat-sahabat Qhazanah Cinta Ilahi? Juga tidak dilupakan kepada para penziarah blog sekalian..harapan Uqhti' moga kalian sentiasa dalam baraqa’ & perlindungan Allah…

Tidak terlalu lewat untuk Uqhti' Cinta Ilahi mengucapkan Ramadhan Al-Mubaraq untuk kalian semua. Moga Ramadhan 1432H kali ni dapat kita semua tempuhi dan jalani dengan penuh ketaqwaan kepada-NYA. Aktiviti malam seperti Ramadhan yang sebelum-sebelumnya yang sering kita lakukan selain membaca Al-Quran, mengerjakan Solat sunat Tahajjud mahupun Solat sunat Hajat adalah Solat Sunat Teraweeh, solat sunat yang dilakukan sama ada 8 rakaat sehingga 20 rakaat beserta witir 3 rakaat dan hanya dilakukan semasa bulan Ramadhan sahaja sama ada di surau, masjid atau rumah.


Entry kali ini,Uqhti' ingin berkongsi mengenai Solat Sunat Teraweeh di Surau Al-Amin, salah sebuah surau di kawasan perumahan yang Uqhti' diami. Malam ke-4 Ramadhan, seperti biasa Uqhti' akan pergi ke surau berkenaan bersama rakan serumah Uqhti' untuk mengerjakan solat sunat, namun malam berkenaan hanya Uqhti' sahaja yang pergi kerana rakan Uqhti' ada masalah kesihatan dan beliau tidak berkesempatan. Sebelum itu, Uqhti' ingin mengucapkan SYUKRAN JAZILAN kpd CIK SITI RAIHAN a.k.a Cik Sit's juga rakan serumah uqhti' kerana telah mengizinkan uqhti' untuk balik awal pada malam tersebut.


Solat Sunat Teraweeh malam ke-4 begitu istimewa sekali di surau Al-Amin. Apa yang istimewanya? mesti kalian penasaran kan? alamak...ada slang seberang la pulak? ente semua tertanya-tanya apa yang cuba Uqhti' sampaikan ni?. Malam tersebut Surau Al-Amin menerima jemputan imam dari luar, mengikut apa yang pengerusi masjid war-warkan Solat Sunat Teraweeh malam itu akan dibimbing dan diketuai oleh imam tersebut. Namun pengerusi tidak pula menjelaskan serba sedikit mengenai beliau, cukup dengan hanya Surau Al-Amin bertuah pada malam tersebut. Terlalu tawaduq' beliau, moga Allah sentiasa merahmati dan memberkati usahanya. 

 MasyaALLAH...hanya itu yang mampu Uqhti' gambarkan! terlalu indah ciptaan-MU ya ALLAH. Umpama malam itu Uqhti' solat berimamkan Syeikh Saad Al-Ghamdi!. Tersentuh mendengar setiap bait-bait Surah yang diperdengarkan dan airmata bergenang tidak hanya kepada ayat yang cuba di sampaikan tetapi betapa hebatnya kitab AL-QURAN.

Apa yang cuba disampaikan terlalu dekat dengan kita. Al-Quran kitab akhir zaman, kitab umat Muhammad!. Dewasa ini, Al-Quran hanya sebagai perhiasan seadanya. Digunakan sebagai hadiah mahupun cenderahati. Lupakah kita betapa ruginya kita jika tidak mendalami kitab Allah ini? Terlalu hina dan pincanglah kehidupan jika tidak mengamalkan dan memahaminya. 

Untuk itu, jadikanlah ia sebagai pedoman hidup sekalian sahabat-sahabat. Al-Quran pimpinan dan menunjangi akar kehidupan kita! 

wallahu alam...