Thursday, 21 July 2011

Keberkatan Bulan Rejab, Sya'ban & Ramadhan



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatu…

Apa khabar semua sahabat-sahabat Qhazanah Cinta Ilahi? Juga tidak dilupakan kepada para penziarah blog sekalian..harapan saya,moga kalian sentiasa dalam baraqa’ & perlindungan Allah…Kurang beberapa hari lagi Ramadhan akan menjelma, begitu berlalunya Rejab maka Sya'ban juga akan turut melabuhkan tirainya Ahad depan. Adakah rakan-rakan telah bersedia dengan kedatangan Ramadhan kali ini?
Setiap bulan mempunyai keistimewaan tersendiri dan kerana itu bagi yang mengetahui, tidak sabar menanti kehadirannya untuk mengumpul sebanyak mungkin pahala. Sesungguhnya, Allah menganugerahkan rahmat kepada hamba-hamba-Nya dalam bulan berkenaan. Rejab mulia kerana Isra’ Mikrajnya, Sya’ban dengan malam Nifsu Sya’bannya manakala Ramadhan dimuliakan dengan Lailatul Qadarnya.

Antara rahmat Allah yang terbesar kepada hamba-Nya adalah dengan melibatgandakan pahala setiap amalan yang dilakukan dalam bulan itu. Wahai muslim & muslimah sekalian, sebagai hamba-Nya kita perlu menjadi insane yang tamak dalam urusan amal ibadat ini. Kautlah sebanyak mana keuntungan dan kemuliaan kerana ia hanya datang sekali setahun.
Janganlah mengambil sikap menangguh dalam urusan amal ibadat kerana terlalu sibuk dengan urusan dunia. Buangkan dalam fikiran masih ada masa lagi tahun akan datang. Ingatlah, masa sentiasa bergerak dan tidak akan berpatah balik dan kita tidak pasti tahu depan kita masih hidup, sihat atau sibuk.
Allah Maha Melihat atas apa yang kita lakukan. Allah Maha Mendengar atas apa yang kita ucapkan. Allah Maha Tahu apa yang kita lintaskan dalam hati. Allah memberikan ganjaran atau balasan berdasarkan sejauh mana kita berusaha menghampirkan diri kepada Allah. Jika kita bersungguh-sungguh beramal mencari keredhaan Allah, Allah akan member balasan setimpal dengan usaha yang disumbangkan. Sebaliknya jika di dunia kita tidak mengambil pusing akan urusan ibadat, maka suadah tentu Allah tidaka akan mempedulikan perihal hidup kita di dunia dan di akhirat.
Antara amalan-amalan yang dijanjikan limpahan pahala dan baraqa’ adalah :-
Amalan pada waktu siang ialah puasa, solat sunat, tasbih, selawat, membaca Al-Quran, istighfar, sedekah dan seumpamanya.
Manakala waktu malam di isi dengan solat tahajjud, solat sunat tasbih, zikir, tasbih, selawat, membaca Al-Quran dan istighfar. Sepanjang Rejab, Allah melipatgandakan pahala dan keampunan serta mengangkat darjat di dalam syurga.
Selain berpuasa, umat islam di galakkan beristighfar. Bacalah doa istighfar Rejab yang banyak dinukilkan di dalam kitab-kitab. Allah banyak melimpahkan keampunan dan rahmat yang tidak diberi pada bulan-bulan lain.
Amalan sedekah juga dibalas dengan ganjaran yang banyak. Dicatatkan bahawa barangsiapa bersedekah dalam bulan Rejab diberi ganjaran setiap sehelai bulu roma di tubuhnya dengan 1000 kebajikan, diangkat 1000 darjat dan dihapus 1000 kejahatan.
Bersabar di atas segala kesusahan atau bala. Sekiranya kita bersabar atas segala kesusahan yang ditimpakan, Allah akan meningkatkan darjat kita sebagai manusia.
Sentiasa bersyukur dalam setiap yang dikurniakan. Diberi senang kita bersyukur, ditimpahkan kesusahan kita bersabar. Ada wang atau tidak sama sahaja kerana semua itu adalah ujian. Sungguh banyak sekali keterangan ulama mengenai ganjaran dan kebesaran Rejab. Yang lebih penting bukan setakat menghuraikan kelebihan tetapi sejauhmana kita mengamalkan atau mengambil peluang daripada tawaran Allah ini.
Adakah tindak balas kita sama hebat ketika mendengar ada jualan murah dengan tawaran Allah yang menjanjikan kemuliaan di bulan Rejab, Sya’ban dan Ramadhan. Tawaran yang kekal abadi serta menjamin kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Sehubungan itu, buatlah ujian pada diri sendiri dengan melihat sejauhmana kita member respon terhadap tawaran ukhrawiah dan apakah respon kita terhadap tawaran dunia. Bandingkan kecenderungan atau kemahuan diri kita apabila berhadapan dengan kedua-dua tawaran ini.
Yang mana lebih menggiurkan atau menyelerakan??? Dari sini barulah kita tahu pendirian dan sikap kita. Tepuk dada tanyalah iman. Hanya diri sendiri yang lebih mengetahui rahsia diri peribadi. Bertolak dari sini, barulah kita dapat memperbetulkan hala tuju yang perlu diambil untuk keselamatan diri kita di dunia dan akhirat.
Sesudah itu barulah kita boleh menaruh harapan dalam perjalanan bertemu Yang Esa. Harapan kita biarlah kita untung dan bahagia di dunia dan di akhirat. Sama-samalah kita berusaha kearah memperbaiki hidup sepanjang bulan Rejab ini,supaya Allah menambahkan ketaqwaan dan kekuatan kepada kita untuk melakukan amal ibadat dalam bulan Sya’ban dan Ramadhan yang bakal menjelang beberapa hari lagi.
Semoga kita berpeluang bertemu dan berada dalam bulan yang paling mulia – Ramadhan dan semoga kita sentiasa mendapat keredhaan Allah….
Amin Ya Allah...

wallahu alam...




petikan dan  sumber :- GrupMajalah Karangkraf  ( majalah NUR Edisi Julai '11)

Sunday, 10 July 2011

Kisah seorang ibu,anak & buah tamar

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Bismillahir Rahmanir Rahim...

Kali ini saya ingin berkongsi mengenai kisah seorang  ibu, anak dan buah tamar (kurma).

Pada satu masa ketika Rasulullah SAW tiada di rumah, seorang perempuan miskin dengan dua orang anaknya hendak bertemu Rasulullah SAW. Oleh kerana Rasulullah SAW tidak ada, perempuan miskin itu bertemu dengan Aisyah RA, isteri Rasulullah SAW.

Oleh kerana kasihan melihatkan perempuan itu dengan dua orang anak perempuannya, Aisyah RA telah memberikan tiga biji kurma. Kurma itu kemudian diberikan kepada anak-anaknya manakala sedikit untuk dirinya. Kedua-dua anaknya memakan kurma itu dengan berselera sekali. Selesai anak-anaknya makan, giliran perempuan itu pula untuk makan sisa kurma untuknya


Tiba-tiba anaknya itu berkata. “ibu, jangan makan kurma itu, kami masih lapar.”

Melihatkan anak-anaknya masih perlukan kurma itu, perempuan itu terus memberikan kurma untuk dihabiskan oleh anak-anaknya. Setelah kenyang, perempuan miskin dengan dua orang anak perempuannya itu pun beredar dari rumah Rasulullah SAW. Tidak lama kemudian, Rasulullah SAW pulang ke rumah. Setelah berehat, Aisyah RA menceritakan peristiwa tadi kepada Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW kemudian berkata, “Barangsiapa yang mempunyai tiga anak perempuan dan mereka sabar dalam mendidiknya sama ada dalam keadaan susah atau senang, dia akan dimasukkan Allah ke dalam Syurga kerana rahmat Allah terhadap anak-anaknya itu.”

Dalam satu peristiwa lain yang ada hubung kait dengan perkara itu, seorang lelaki bertanya, “Bagaimana jika ada dua anak perempuan ya Rasulullah?”

“Walaupun mempunyai dua anak perempuan , seseorang ibu itu juga akan dimasukkan ke dalam Syurga,” jawab Rasulullah.

Kemudian lelaki itu bertanya lagi, “Bagaimana jika hanya ada seorang anak perempuan?”


“Walaupun seorang anak perempuan, ibu itu juga akan dimasukkan ke dalam Syurga.”


Sehubungan itu, Rasulullah SAW menasihati, “Barangsiapa yang mengeluarkan belanja untuk dua orang perempuan dan memiliki saudara perempuan atau kerabat perempuan yang patut disediakan belanja untuk keduanya, sehingga keduanya diberi Allah kecukupan atau kemampuan, mereka akan menjadi pendinding yakni pelindung dari api neraka.”

Wallahu alam…

Surah AL-QURAN Sebagai MAHAR

Mahar atau dalam erti kata lain mas kahwin kadang-kadang menjadi pertikaian bagi mereka yang tidak mampu untuk bernikah. Oleh kerana masalah itu juga, mereka yang ingin bernikah terpaksa menangguhkan atau pun membatalkan rancangan mereka. Peristiwa ini berlaku khususnya pada zaman Rasulullah SAW.

Antara salah satu peristiwa berkenaan mahar:-

Pada suatu hari datang seorang perempuan menemui Rasulullah SAW. Melihatkan daripada raut wajahnya, Rasulullah SAW dapat menduga perempuan itu seperti ada masalah dan meminta Rasulullah SAW untuk menyelesaikannya.  

Setelah teragak-agak beberapa ketika, perempuan itu bersuara, “Wahai Rasulullah, aku serahkan diriku kepadamu.” Perempuan itu lalu tunduk, menunjukkan sikapnya merendah diri. Rasulullah berfikir sejenak kerana inginkan kepastian apakah maksud sebenar perempuan berkenaan. Belum pun sempat soalan itu di jawab, seorang lelaki muda berdiri di sebelah perempuan itu.

“Wahai Rasulullah, kahwinkanlah dia dengan aku jika tuan tidak berhajat kepadanya,” beritahu lelaki itu sambil memandang wajah Rasulullah SAW yang manis itu.

Lalu jawab Rasulullah SAW, “Wahai anak muda, apakah kamu ada sesuatu yang boleh dijadikan mas kahwin untuknya?”

“Saya tidak mempunyai apa-apa selain daripada kain sarung yang saya pakai ini.” ujar lelaki itu dengan jujur.

“Jika kamu berikan kain sarung ini, sudah tentu kamu tidak berkain sarung. Kamu carilah sesuatu yang lain daripada kain sarung ini,” cadang Rasulullah SAW sambil memandang dan memerhatikan lelaki yang pada anggapan Rasulullah SAW yang kurang berkemampuan itu.

Lelaki itu diam sebentar seperti sedang memikirkan sesuatu. Setelah agak lama membisu, akhirnya dia bersuara, “Ya Rasulullah, ketika ini saya memang tidak mempunyai apa-apa,” jelas lelaki itu dengan wajah sedih.

“Kalau begitu, kamu carilah apa sahaja meski pun ia hanya sebentuk cincin besi.” Beritahu Rasulullah SAW memberikan jalan keluar untuk menyelesaikan masalah itu.

Akhirnya lelaki itu mencari cincin besi seperti yang dicadangkan oleh Rasulullah SAW tetapi setelah lama mencari, lelaki itu bertemu semula dengan Rasulullah SAW dengan wajah yang sugul.

“Saya gagal mendapatkan apa yang Rasulullah SAW cadangkan,” luah lelaki itu dengan rasa kecewa.

“ Begini sahajalah. Oleh kerana kamu tidak mempunyai apa-apa untuk dijadikan mas kahwin, adakah kamu menghafal surah-surah Al-Quran?”


“Ada, ya Rasulullah,” ujar lelaki itu sambil membacakan  beberapa surah Al-Quran yang dia hafal antaranya Surah Al-Ikhlas.

“ Kalau begitu, aku nikahkan engkau dengan wanita ini dengan mas kahwinnya surah-surah Al-Quran yang engkau hafal itu,” beritahu Rasulullah SAW kepada pasangan lelaki dengan perempuan itu. Mendengar apa yang dikhbarkan oleh Rasulullah SAW, pasangan itu berasa lega kerana dapat berkahwin walaupun dengan surah-surah Al-Quran yang dihafalnya

.
Dalam hal ini,kebijaksanaan Rasulullah SAW terserlah apabila tidak memaksa pasangan yang tidak berkemampuan bernikah dengan menyediakan mas kahwin yang tidak mampu disediakan. Cuba kita renungkan, betapa mudahnya perjalanan sesebuah perkahwinan pada zaman Rasulullah SAW berbanding ketika ini. Hanya dengan menghafaz Al-Quran, ia boleh dijadikan sebagai mahar @ mas kahwin sesebuah ikatan perkahwinan. Islam itu mudah!.

Di dalam satu hadis lain, Rasulullah SAW pernah bersabda, “Sesiapa yang memberi mas kahwin kepada seorang perempuan berbentuk tepung atau kurma maka dihalalkan perempuan itu baginya dan perkahwinan itu adalah sah.”

wallahu alam...

Wednesday, 6 July 2011

.:: QUDWAH HASANAH ::.



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatu…

Apa khabar semua sahabat-sahabat Qhazanah Cinta Ilahi? Juga tidak dilupakan kepada para penziarah blog sekalian..harapan saya,moga kalian sentiasa dalam baraqa’ & perlindungan Allah…

Entry kali ini,saya ingin berkongsi mengenai “QUDWAH HASANAH”…apa yang kita faham mengenai qudwah hasanah?apa yang dikatakan dengan qudwah hasanah?ia sinonim dengan apa ya?ada antara kita yang memahaminya dan juga ada di antara sahabat sekalian pernah dengar perkataan ini dituturkan namun tidak mengerti maksud di sebaliknya…untuk lebih lanjut cuba baca ini, mudah-mudahan ia sedikit sebanyak menambah”galeri ilmu kita” :-

Asas terpenting dalam pembentukan keluarga adalah bergantung kepada faktor akhlak yang ada pada ibu bapa. Keihsanan ALLAH terhadap hamba-NYA ialah membentuk Rasulullah s.a.w sebagai qudwah yang memilki akhlak terpuji. Ibu bapa yang menjadikan baginda sebagai qudwah atau sumber membentuk diri, bererti mereka juga mempunyai persiapan yang lengkap untuk mempersiapkan anak-anak ke arah kehidupan yang berjaya duniawi ukhrawi.

Rasulullah s.a.w yang memilki sifat-sifat sama seperti manusia lain merupakan contoh yang selari dengan fitrah ciptaan ALLAH. Sekiranya sirah dan sunah Rasul menjadi sumber ikutan dalam menjalin hubungan suami isteri, mendidik anak-anak, memberi kasih sayang dan belaian manja, memahami karenah dan tingkah laku anak-anak yang sedang membesar, kesabaran, keteguhan hati, keazaman yang tinggi, tekad yang kental; menjadi sumber kekuatan supaya anak-anak yang dididik dalam suasana keluarga yang cemerlang bakal melahirkan generasi Islam yang gemilang.

Rumah tangga merupakan medan yang terbaik untuk membentuk jenis masyarakat Islam yang diingini. Sekiranya ia menjadi tempat yang gagal menjalankan tanggungjawab keihsanan dan keinsanan, maka sudah pasti zuriat yang dilahirkan turut gagal sama ada dalam pendidikan formal atau tidak. Juga tewas dalam gelanggang masyarakat yang dipenuhi dengan pelbagai cabaran dan mehnah.


Peranan ibu bapa sebagai asas penting dalam pembentukan anggota keluarga adalah sesuatu yang amat dituntut. Menyuburkan fitrah anak-anak sejak mereka di lahirkan menjadi tanggungjawab yang tidak boleh dipandang enteng oleh setiap ibu bapa. Ini kerana, mereka tidak kekal pada tahap usia dan perkembangan diri seadanya tetapi bakal menjadi remaja, belia seterusnya dewasa. Tetapi, apakah disetiap peringkat kedewasaan mereka, ibu bapa sudah mempunyai ilmu dan keterampilan yang cukup sebagai persediaan untuk mereka menghadapi kehidupan yang seterusnya?. Cuba kita fikrkan sejenak…

Setiap ibu bapa memerlukan ilmu dan berketerampilan dalam proses menguruskan anak-anak agar faktor persekitaran seperti media cetak dan elektronik serta pergaulan social mampu member daya kawalan dalaman yang baik terhadap mereka. Jika kualiti ini tidak dimiliki, ia menyebabkan anak-anak hilang daya pimpinan dan akhirnya mereka hidup dalam dunia yang bebas melakukan apa sahaja tanpa pedoman yang seimbang. Apabila keadaan ini berlaku, mereka akan mudah tewasa dalam salah laku social yang akhirnya merosakkan potensi diri sendiri.

Oleh itu, keihsanan dalam konteks keibubapaan amat penting kerana ia merupakan suatu taqlif  (amanah) yang tinggi dalam proses pembentukan generasi masa depan yang baik. Anak-anak memerlukan kekebalan diri yang mantap kerana corak cabaran yang berada di hadapan mereka adalah hebat dan menggugat. Sekiranya jiwa mereka lemah, kosong dengan kasih sayang, tiada belaian, terdedah kepada pengaruh persekitaran yang negative, tiada ilmu dan adab, suasana demikian bakal melahirkan anak-anak yang mengalami kelompangan jiwa yang akhirnya menyebabkan mereka terpinggir dan tersingkir.



Thursday, 23 June 2011

MANUSIA PALING MENARIK


“Aku tidak pernah melihat seorang yang wajahnya terlebih tampan dan kacak, sama ada sebelum dan selepasnya.”

“Apakah wajah Nabi Muhammad itu seumpama pedang yang mempunyai tepi yang tajam?” Al-Barra menjawab “Tidak, wajah baginda bagaikan bulan”


Muhammad SAW



Arab Badwi mengencingi masjid. Seorang Arab Badwi kencing di dalam masjid di hadapan nabi. Lalu para sahabat bermaksud mencegahnya.maka Nabi Muhammad melarang mereka dengan berkata , “Jangan kamu putuskan kencingnya.” Kemudian nabi berkata pada Badwi, “Masjid-masjid ini tidak patut bagi sesuatu kotoran, kencing dan najis.”  Dalam hadis lain nabi menerangkan “ Dekati dia, jangan kamu jauhkan”.

Nabi memaafkan Abu Sufyan. Pada hari pembebasan Kota Mekah seorang lelaki yang pernah menjadi panglima tertinggi Quraisy masuk ke dalam khemah nabi dengan badan gementar dan wajah ketakutan. Dia adalah Abu Sufyan yang telinganya sudah tidak tahan mendengar pekik kemenangan dan matanya tidak mampu melihat panji-panji kemenangan berkibar disetiap sudut, di mana pada saat itu tidak seorang pun daripada bekas anak buahnya yang menampakkan hidungnya. Abu Sufyan datang memohon dengan hina diri supaya nabi menyelamatkan jiwanya. Apabila di ingati di masa jayanya, betapa Abu Sufyan dengan angkara mungkarnya menumpahkan darah muslimin, Betapa pula kejahatan yang pernah dilakukan dan dosa yang begitu besar, Rasanya sukar untuk memaafkan. Tetapi dengarlah apa yang di kata oleh nabi.

Sesungguhnya aku di utus bagi menyempurnakan budi pekerti.

”sesiapa yang masuk ke dalam Masjidil Haram terjamin keselamatannya! Sesiapa yang masuk kedalam rumah Abu Sufyan terselamatlah ia. Sesiapa yang masuk kedalam rumahnya sendiri terjamin keselamatannya. Cubalah perhatikan sekali lagi ucapan Rasulullah, kata-kata yang tidak pernah difikirkan oleh panglima. Kata-kata yang cukup menghilangkan kegelisahan sebagai tanda pengampunan. Pada hal rumah Abu Sufyan  pernah menjadi pusat fitnah dan markas perkumpulan musuh-musuh islam. Di dalam rumah itu pula tinggal Hindun, isteri Abu Sufyan yang sudah membelah perut Hamzah, bapa saudara Nabi dalam perang Uhud. Hindun mengunyah hati Hamzah dengan buas, malahan usus Hamzah dikalungkan di lehernya. Dalam sejarah manusia, manusia manakah mendapat pengampunan secara percuma sebagaimana yang di tunjukkan nabi? Manusia manakah yang mempunyai akhlak sebegitu luhur dan agung? Benarlah sabda nabi, “Sesungguhnya aku di utuskan bagi menyempurnakan budi pekerti.”

Nabi memaafkan Fudholah yang hendak membunuhnya. Pada saat nabi sedang bertawaf di Kaabah, seorang lelaki bernama Fudholah bin Umair berniat hendak membunuh nabi. Fudholah menyelinap dalam rombongan kumpulan orang yang bertawaf dan mendekati nabi. Pada saat itu, Fudholah sudah berada di samping nabi dan mempunyai peluang untuk membunuhnya. Tetapi Fudholah tiba-tiba terkejut apabila bertemu pandangan dengan nabi. Nabi menyoalnya “Apakah engkau bernama Fudholah?” Dengan gementar ia menjawab, “Ya, Benar. Aku adalah Fudholah wahai Muhammad.” Nabi bertanya, “Niat apakah yang terkandung dalam hatimu?” Fudholah berkata dengan gementar. “Tidak ada suatu apa pun…aku hanya berzikir.” Tertawalah nabi sambil berkata kepada kepada Fudholah “Minta ampunlah kepada Allah atas dosa dan niat jahatmu wahai Fudholah.” Kemudian nabi meletakkan tangannya yang penuh kasih sayang dan keberkatan ke dada Fudholah. Kemudian Fudholah berkata, “Demi Allah, nabi mengangkat tangannya dari dadaku, aku berasa tidak ada seoarang pun di dunia ini yang lebih aku cintai dan sayangi daripada Nabi Muhammad.” Apakah dunia mengenal keseimbangan rasa sebagaimana di contohi oleh Nabi Muhammad. Insan luhur yang bagaimanakah Muhammad itu? Ya itulah peribadi unggul, peribadi yang di bentuk oleh wahyu dan dibesarkan dalam siraman cahaya iman, tidak akan padam sehinggalah dunia ini kiama

Wednesday, 22 June 2011

TANGISAN mengiringi PERPISAHAN


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ


Diriwayatkan dalam 1 cerita;-
  

Ibnu Al-Mubarak telah berjumpa dengan seorang yang jahat pekerti dan rendah budinya dalam satu perjalanan. Namun beliau tidak kisah malahan terus berjalan bersamanya, walaupun terpaksa menanggung kesabaran atas pekertinya yang kurang menyenangkan itu.   Detik berpisah akhirnya tiba, Ibnu Mubarak menjadi sebak dan menangis. Apabila ditanya kenapa dia menangis, dia menerangkan "Aku menangis kerana masih sayang kepadanya. Aku terpaksa berpisah dengannya dalam keadaan dia belum dapat berpisah dengan kelakuannya yang buruk itu."   

  
MORAL & IKTIBAR****  
 
    • Buatlah kawan dengan siapa saja asalkan bertujuan untuk memperbaiki hubungan silaturahim serta mendekatkan diri kepada Allah

    • Bersabar dalam pergaulan suatu kebajikan. Berusaha memperbaiki akhlak kawan satu kebajikan yang lain.

    • Mencari kawan mudah tetapi mencari kawan yang seia dan sekata amat sukar

    • Perbaiki hubungan sesama manusia (hablum-minan-nas) di samping perbaiki hubungan dengan Allah (hablum-mina-Allah)

    • Dua sahabat yang menangis lantaran berpisah kerana Allah akan dinaungi Arasy pada hari yang tiada naungan kecuali naungannya.

    • Jangan mamandang keji terhadap seseorang kerana akhlaknya tapi bersimpatilah di samping cuba untuk mengubah kelakuannya

    • Berusaha dalam dakwah adalah tanggungjawab kita tetapi pemberian taufiq dan hidayat adalah di tangan Allah
      Berkawan dengan orang yang jahat akhlak adalah sebagai satu cara untuk menguji diri sejauh mana kesabaran dan kesediaan kita untuk memaafkannya.   
       



wallahu alam...



















Tuesday, 21 June 2011

HIJRAH - iltizam tahun baru

UMUMNYA hijrah bermaksud berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Penghijrahan komuniti Muslim pada zaman Rasulullah SAW berlaku sebanyak tiga kali. Pertama, hijrah ke Habsyah pada 615 Masihi, kedua juga ke Habsyah pada 617 Masihi dan ketiga ialah hijrah Rasul SAW ke Yathrib pada 622 masihi.

 



Mengenai hijrah ke Yathrib, Rasulullah SAW ada menceritakan dalam hadisnya yang bermaksud: "Aku melihat dalam tidurku aku berhijrah dari Makkah ke satu tanah yang banyak pokok kurma. Pada mulanya aku menyangka Yamamah atau Hajar, rupa-rupanya ia adalah Madinah, iaitu Yathrib." - (Hadis riwayat Bukhari)
Hijrah mempunyai nilai yang tinggi untuk diletakkan harganya, bukan kerana disambut setiap tahun oleh masyarakat Islam di negara ini melalui pelbagai atur cara, lebih dari itu ialah nilai penghayatan yang tersirat dan dipancarkan melalui pengertian penghijrahan itu sendiri.



Nilai penghijrahan yang mesti dihayati itu mempunyai nilai darjatnya yang tinggi di sisi Allah. Penghijrahan mesti dilakukan kerana Allah seperti mana yang diakui Nabi Allah Ibrahim, yang sedia patuh dan tunduk kepada Allah.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya aku akan berpindah ke tempat yang diperintahkan oleh Tuhan." - (Surah al-Ankabut, ayat 26)
Penghijrahan Rasulullah SAW hendaklah dilihat dari pelbagai perspektif membabitkan perancangan strategik dengan melihat ruang dan peluang di tempat baru. Hijrah dilakukan semestinya kerana Allah, demi mendapatkan keredaan-Nya.



Firman Allah yang bermaksud: "Maka orang yang berhijrah, yang diiusir dari kampung halamannya, yang disakiti pada jalan-Ku, yang berperang dan yang dibunuh, pastilah akan Aku hapuskan kesalahan mereka dan pastilah Aku masukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya sebagai pahala di sisi Allah. Dan Allah, pada sisinya pahala yang baik." - (Surah Ali-Imran, ayat 195)

Sebenarnya, urutan peristiwa Penghijrahan Rasulullah dari Mekah ke Yathrib ini bermula apabila pemuka-pemuka Quraisy yang diketuai Abu Jahal berasa tercabar dengan penyebaran Islam di Kota Makkah dalam tempoh 13 tahun itu. Sepanjang tempoh tersebut mereka telah melakukan pelbagai bentuk seksaan dan kezaliman terhadap Muslimin untuk menanggalkan Islam dalam tubuh mereka. Anak isteri dipisahkan, harta benda dirampas, nyawa diragut, dipukul dan diseksa dengan seksaan yang begitu dahsyat dan mengerikan, namun tindakan yang tidak berperikemanusiaan itu tidak berjaya juga menghalang kebangkitan Islam yang semakin luas penyebarannya dari sehari ke sehari.


Pemuka Quraisy yang mewakili kabilah masing-masing telah mengadakan mesyuarat tergempar pada 26 Safar tahun ke 14 kenabian bertempat di Darul Nadwah bagi membincangkan langkah yang akan diambil untuk memusnahkan Islam. Di dalam persidangan itu iblis turut menghadirinya dengan menyamar sebagai Syeikh An-Najd (seorang tua dari Najd) yang turut memberi cadangan dan usul yang jahat. Persidangan itu akhirnya berakhir dengan menerima cadangan dari Abu Al-Aswad agar Rasulullah SAW dibuang negeri dan kemudian menerima pula cadangan dari Abu Al-Buktari yang mencadangkan agar Rasulullah SAW dipenjarakan.
Allah SWT telah mewahyukan kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Jibril mengenai pakatan jahat itu dan memerintahkan agar Rasulullah saw berhijrah ke Yathrib. Firman Allah SWT yang bermaksud "Dan ingatlah wahai Muhammad, ketika orang bukan Islam Makkah menjalankan tipu daya ke atasmu untuk menahanmu atau membunuhmu atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya mereka, kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya" - (Surah Al-Anfal, ayat 30). Rasulullah SAW telah memberitahu sahabat karibnya, Abu Bakar As-Siddiq mengenai makluman dan perintah dari Allah SWT itu dan membuat persiapan dan perancangan untuk berhijrah dari tanah kelahirannya itu.


Ringkasnya, Rasulullah SAW telah memerintahkan Saidina Ali bin Abi Talib, agar berbaring menggantikannya di tempat pembaringan dan menyampaikan beberapa pesanan dan amanah kepada Ali. Helah yang dilakukan oleh Baginda ini berjaya memperdayakan pengintip Quraisy yang telah mengintai tempat pembaringan Rasulullah SAW dan melihat sekujur tubuh sedang tidur yang disangkakan Rasulullah SAW itu. Rasulullah SAW telah berjaya melarikan diri dari kepungan Quraisy tanpa disedari oleh mereka walaupun seorang pun.


Rasulullah SAW bersama Abu Bakar bertolak ke arah selatan menuju ke Gua Thur dan bermalam di dalamnya selama tiga malam. Dalam tempoh itu, Asma dan Aisyah membawa bekalan makanan manakala Abdullah bin Abu Bakar pula menjadi perisik bagi mendengar sebarang berita atau perancangan dari pembesar Musyrikin dan Amir bin Fuhaira' pula mengembala kambing di sepanjang laluan yang telah dilalui oleh Rasulullah SAW dan Abu Bakar bagi menghapuskan kesan-kesan perjalanan mereka berdua itu. Sewaktu Rasulullah SAW dan Abu Bakar berada di Gua Thur ini telah berlaku beberapa mukjizat iaitu wujudnya sarang labah-labah di depan gua dan sebagainya sehingga tidak dapat dikesan oleh pihak musuh.


Pihak Quraisy yang kecewa akibat tidak berjaya menangkap mereka berdua telah mengumumkan beberapa tawaran istimewa berupa ganjaran 100 ekor unta kepada sesiapa yang berjaya memberkas dua orang pelarian yang amat dikehendaki itu. Tawaran ini telah berjaya menarik minat Suraqah bin Malik yang berjaya mengesan jejak mereka berdua dan mengejarnya dari belakang. Namun impiannya untuk mendapatkan 100 ekor unta itu berkecai akibat beliau dan kudanya tersungkur rebah ke tanah.


Nabi Muhammad SAW dan Abu Bakar As-Siddiq meneruskan perjalanan mereka berdua melalui beberapa perkampungan di antaranya Tihama dan melintasi padang pasir yang luas dalam keadaan panas terik yang membakar padang pasir Sahara. Perjalanan yang penuh dengan kesusahan dan keperitan dengan melintasi padang pasir, batu kapur, lembah curam, binatang berbisa, kedinginan malam hari dan pelbagai tribulasi yang menguji Rasulullah dan rombongan penganut Islam. Segala bentuk kepayahan itu berjaya diharungi dengan hanya berbekalkan keimanan, ketabahan, kesabaran, kepatuhan yang tinggi kepada Allah SWT.


Akhirnya Rasulullah SAW bersama Abu Bakar tiba di Quba' pada Isnin 8 Rabiulawal tahun ke-14 Kenabiaan, sebahagian ulama mengatakan hari itu bertepatan dengan 12 Rabiulawal. Baginda menetap di situ selama empat hari dan mendirikan Masjid Quba'.


Maka pada 24 September 622M bergemalah alunan merdu Thola'al Badrul Alaina yang dialunkan sebagai meraikan selamat datang rombongan Rasulullah SAW dengan penuh gembira. Tanpa disangka dan tanpa diduga, golongan Ansar yang dahulunya berperang sesama mereka tetapi akhirnya menerima agama yang menyatukan hati-hati mereka. Sabda Rasulullah yang bermaksud "Barang siapa yang dikehendaki baik oleh Allah, maka diberinya pengertian ad-din" - (Hadis riwayat Bukhari). Kehadiran Islam menyatukan hati yang bersengketa bagi membentuk wahdatul qalb. Islam agama sejahtera ini telah menyatukan puak Ansar yang lama bersengketa itu. Suatu rahmat yang tiada bandingannya. Rahmat keamanan yang menenggelamkan persengketaan.


Renunglah kembali pengertian penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah yang memberi nafas baru kepada suatu perubahan yang besar dalam sejarah kebangkitan ummah. Penghijrahan beberapa orang sahabat ke Habsyah misalnya adalah sekadar penghijrahan biasa saja. bagi melarikan diri dari kezaliman, cemuhan dan seksaan Musyrikin Makkah dan penghijrahan Rasulullah SAW ke Yathrib adalah penghijrahan yang dilakukan atas arahan dan perintah Allah bagi meneruskan perjuangan untuk menegak, mengukuh dan mempertahankan Islam. Firman Allah yang bermaksud "Maka barang siapa yang mengikut petunjuk ku, maka tiadalah dia akan tersesat dan tiada pula akan sengsara" - (surah Al-Baqarah, ayat 38)


Kalangan ulama bersepakat meletakkan peristiwa hijrah sebagai 'zaman baru' yang memberi 'nafas baru' kepada misi penyebaran Islam. Selain daripada tahun hijrah diguna pakai sebagai penanda takwim baru umat Islam, hijrah juga menandakan bermulanya method kehidupan baru melalui pembinaan semula sahsiah dan keperibadian Muslim seperti yang dibentuk dan diperkasakan agama. Perpindahan daripada amalan yang memaparkan kejahilan setelah hilang panduan hidup kepada amalan yang berasaskan disiplin agama yang berpandukan al-Quran.


Menghayati penghijrahan Rasulullah SAW bermakna menghayati falsafah kecekapan dan kepintaran strategi, kesabaran dan kecekalan, keyakinan dan ketegasan, kesungguhan dan bermatlamat. Ia membabitkan semua peringkat masyarakat yang terdiri daripada belia yang diwakili oleh Saidina Ali, golongan dewasa yang diwakili oleh Abu Bakar As Siddiq, golongan korporat yang diwakili oleh Abdul Rahman Auf, golongan wanita yang diwakili oleh Asma' Abu Bakar. Pembabitan kalangan bukan Islam sebagai penunjuk jalan yang diwakili oleh Abdullah Uraiqit juga membantu dalam menjayakan misi penghijrahan ini.


Hari ini dan ketika ini, cerita penghijrahan Rasulullah SAW hanya sekadar catatan yang diabadikan dalam buku sejarah. Seperti cerita sejarah yang lain, cabaran penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah menjadi rakaman sejarah sekadar untuk dibaca sebagai bekalan bagi menjawab soalan peperiksaan. Lebih malang lagi amalan membaca berasaskan orientasi itu akan lupus selepas zaman persekolahan berakhir. Maka jadilah sejarah penghijrahan yang memberi implikasi yang besar maknanya kepada penyebaran Islam itu dilupakan secara berperingkat, jauh sekali untuk dihayati. Sedangkan inti pati dan mesej penghijrahan itu sangat besar dan amat mendalam pengertiannya di sisi agama. Sabda Rasulullah yang bermaksud "Tiada lagi hijrah sesudah pembukaan kota Makkah, tetapi yang tetap ada ialah jihad dan niat untuk berhijrah (apabila keadaan memaksa) dan apabila dipanggil untuk berjihad (atau sebagainya) hendaklah kamu bersiap sedia." - (Hadis Riwayat Bukhari)

Kehadiran tahun Hijrah 1433 yang bakal hadir nanti diharapkan dapat mengubah persepsi Muslim berkaitan isu itu melalui iltizam yang penuh untuk diterjemahkan ke dalam bentuk pelaksanaan. Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang mukmin apabila melakukan dosa bererti ia membuat noda dengan sebuah titik hitam di dalam hatinya. Apabila ia bertaubat, meninggalkan perbuatannya, dan memohon ampun kepada Allah, maka hatinya jernih kembali. Tetapi apabila ia menambah dosanya, maka bertambah pulalah titik hitam itu hingga menutupi seluruh hatinya." - (Hadis Riwayat Ahmad)