Friday, 26 August 2011

Muhasabah Syawal !!!


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Segala puji bagi Allah yakni tuhan semesta alam. Segala kesudahan yang baik ( akhirat) hanya kepada orang-orang bertaqwa. Tiada sebarang permusuhan melainkan mereka yang zalim.

Aku bersaksi tiada tuhan melainkan Allah dan tiada sekutu bagi-NYA. Aku bersaksi Nabi Muhammad itu hamba dan pesuruh-NYA, kepada keluarga, para sahabat dan kepada isteri-isteri baginda.Dialah penguasa dan Maha Kuasa iaitu Allah yang merupakan tempat berserah diri.

Selawat serta salam kepada Nabi Muhammad, keluarga dan para sahabatnya.

Alhamdulillah…kita baru sahaja berlangsung melaksanakan ibadah puasa untuk hari yang ke-26. Sebentar lagi dalam beberapa hari sahaja, insya-Allah kita akan gembira menyambut ketibaan Syawal. Untuk itu, Uqhti’ Cinta iLahi ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Puasa, mina-‘al-aidin wa al-faizin buat sahabat dan ikhwan Cinta iLahi khususnya dan semua umat islam amnya tidak kira dipelosok mana tempat jua kedudukan mereka. Semoga Allah SWT menerima ibadah puasa kita semua dan melayakkan kita untuk mendapat syurga-NYA serta memasuki melalui pintu Rayyan. Amin



Antara perkara yang sepatutnya dilakukan pada Syawal…

.::  ZIARAH-MENZIARAHI ::.

Menjadi kelaziman pada bulan Syawal, kita akan saling ziarah-menziarahi dan kunjung-mengunjungi, di mana rumah terbuka diadakan bagi menyambut dan meraikan hari kemenangan setelah berpuasa selama sebulan. Namun harus di ingat, terdapat beberapa perkara yang perlu dan wajib dilaksanakan semasa aktiviti ini;-

i)                    Dalam ghairah berziarah, pakaian hendaklah menutup aurat.
ii)                  Elakkan bersalaman antara perempuan dan lelaki yang bukan mahram.
iii)                Elakkan daripada terlalu banyak memasang lagu-lagu raya yang melalaikan sebaliknya gantilah dengan lagu-lagu nasyid dan utamakan dengan bacaan Al-Quran.
iv)                Banyakkan memohon maaf antara satu sama lain dengan penuh keinsafan.

.:: MELAKUKAN IBADAH PUASA SUNAT ::.

Budaya masyarakat kita sudah berubah dimana perayaan menyambut hari raya sudah berubah daripada hari kepada bulan raya seolah-olah kita mengqada hari raya selama sebulan sebagai ganti kepada kepada puasa bulan Ramadhan yang lalu. Ini menyebabkan kita tidak ada ruang dan masa untuk melakukan puasa sunat.

Sedangkan dalam hadis Riwayat Muslim bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dan mengiringinya dengan enam hari Syawal, maka seolah-olah dia berpuasa setahun”.

Ω.:: MERAIKAN GOLONGAN YANG KURANG BERNASIB BAIK ::.

Jangan sesekali kita melupai golongan yang tidak bernasib baik seperti fakir miskin, anak-anak yatim dan mereka yang berada dipembaringan kerana uzur. Alangkah baiknya sedikit perasaan ihsan dan insan kita tampilkan kepada mereka agar mereka sentiasa merasa dalam keberadaan kita dan seronok serta mendapat perhatian.

.:: MEMBACA SEJARAH ::.

Dalam hal ini, kita semua perlu melihat antara peristiwa yang berlaku dalam bulan Syawal misalnya, Peperangan Uhud. Cuba bayangkan, hari semasa masyarakat bergembira dengan kembali pada sejarah bagaimana Rasulullah SAW menghadapi serangan musuh yang mengakibatkan 70 orang sahabat syahid menemui Allah SWT dan berapa ramai lagi yang cedera.

Untuk itu, bacalah dan fahamilah dalam buku Fiqh al-Sirah. Kitab karangan Dr. Sa’id Ramadhan al-Buti ini dapat memberi iktibar yang  secara langsung dapat mencurahkan manfaat kepada kita semua.




Marilah kita sama-sama manfaatkan Syawal ini dengan menjadikan diri kita lebih hampir kepada Yang Maha Esa dalam semua tindakan. Amin… Selamat menyambut hari raya dengan pengisian takwa kepada Allah SWT.

wallahu alam…

Hidup Ini Memang Begitu Part 1

Sungguh! Hidup ini sememangnya adalah pergiliran antara senyum dan tangis. Janganlah hanya mengharap siang yang berkekalan, lantaran gelap malam pasti akan bertandang. Ia adalah ketetapan dalam kehidupan. Dia Yang Maha Esa telah menentukan demikian dalam janji-Nya. Kita hanyalah insan, akuilah, kita hamba yang tersangat kaya dengan kemiskinan. Kita sememangnya tersangat penuh dengan kekurangan. Sewaktu, kita teralpa pada terangnya siang. Sesekali, kita resah kerana gelapnya malam.



Jangan di biar hatimu dipanggang resah! Janganlah jiwamu berterusan dibakar gelisah. Fahamilah akan hakikat hidup ini. Lihatlah siratan hikmah dari setiap ketentuan. Senyum dan tangis yang dipergilir adalah untuk kita memperoleh kebaikan berpanjangan. Kita semua lantaran hidup yang bermandi kenikmatan. Kita ceria kerana kemewahan yang di kecapi. Segalanya adalah curahan nikmat daripada-Nya Yang Maha Pemurah!.

Nah … jadilah insan terbaik! Dengan kenikmatan yang diperolehi, maka bersyukurlah! Jangan terlalai dengannya. Jangan teralpa sewaktu menikmatinya. Jangan terlupakepada Allah yang member nikmat di saat engkau mengecap anugerah nikmat daripada-Nya.

Thursday, 18 August 2011

Memahami makna disebalik "Insya-Allah"



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Assalamu'alaikum wahmatullahi wabarakatuh...


Apa khabar semua ikhwan' Uqhti' Cinta iLahi? Moga sentiasa dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan oleh Allah S.W.T.

Entry kali ini, untuk kesekian kalinya setelah agak lama juga Uqhti' tidak meng"update". Alhamdulillah, dengan kesempatan dan izin-NYA dapat Uqhti' berkongsi serba sedikit mengenai frasa “INSYA-ALLAH"…untuk lebih lanjut cuba baca entry kali ni dan harapan Uqhti' moga kita semua sama-sama mengambil ikhtibar darinya :-

Kita malu jika tidak mempunyai telefon bimbit yang hebat fungsinya biarpun tidak menggunakan fungsinya. Tetapi kita tidak malu dengan Allah S.W.T kerana tidak berhubungan dengan-NYA.

Mungkin ada yang mengatakan bahawa solat, doa dan wirid itu sudah memadai dalam berhubungan dengan Allah S.W.T. Ada kebenarannya, namun pernahkah kita melihat yang banyak kali terjadi dalam solat, doa dan wirid itu tiada hubugan dengan Allah S.W.T. Kita lebih mementingkan bentuk dari rasa. Adatnya manusia memang lebih tertarik dengan bentuk dari mengambil rasa dengan Allah S.W.T sebagai elemen utama. Dek kerana itu, kita perlu membuat labelling yang baik jika ingin menjual produk biarpun rasanya tidaklah seberapa.



Kita menjadi manusia yang elok pekertinya. Kita menjadi insan yang jauh dari kesombongan. Kita sentiasa ada waktu dalam mengurus hidup. Kita sentiasa tahu sama ada sesuatu perkara itu kehendak nafsu atau kehendak jiwa. Maka dari situ, insyaALLAH wang kita juga akan terjaga dan terkumpul.

Mulai hari ini, marilah kita tanamkan satu tekad baru. Tekad untuk selalu mendahulukan Allah S.W.T dalam setiap apa juga yang kita lakukan. Untuk Uqhti' sendiri, malahan kepada sahabat-sahabat juga ikhwan sekalian. Adanya tekad ini, insyaALLAH kita tidak akan mendahului keputusan Allah S.W.T. Keyakinan kita hanya kepada Allah S.W.T dan bukan pada usaha semata-mata.

Hari ini kita sering tersasar dari landasan kerana kita mendahului Allah S.W.T dalam banyak hal. Kita sering berkata yang kita pasti sedangkan kepastian itu milik hakiki Allah S.W.T. Kita sering menjadikan "insya-Allah" sebagai jalan keluar untuk memberi alasan sedangkan "insya-Allah" itu satu keperluan.



Dewasa ini juga, "insya-Allah" dijadikan sebab musabab untuk tidak melakukan sesuatu. Uqhti' pernah ditegur oleh sahabat Uqhti'..."janganlah Insya-Allah, pastikanlah..." lalu Uqhti' berkata "Insya-Allah itulah yang pasti kerana kita hanya tidak dapat hadir seandainya Allah S.W.T tidak mengizinkan. Seandainya Uqhti' tidak mahu pergi, maka dari awal lagi Uqhti' sudah berkata, Tengoklah dulu."

"Insya-Allah" bukan satu perkara yang boleh dijadikan mainan. "Insya-Allah" juga bukanlah kehendak melainkan keperluan. Marilah kita sama-sama mengubah persepsi "insya-Allah" dari apa yang sering kita fahami kepada apa yang sebenarnya.

Untuk itu, lebih mudahlah jalan bagi kita dalam memahami erti rasa dalam ibadah kita seharian. Bak kata iklan yang sering kita lihat dan dengar, lidah boleh tipu tetapi rasa tidak. Makanya apabila ada rasa, lidah akan menjadi kelu, kehendak hilang nafsu, jiwa terus dipadu...Insya-Allah..Moga kita sentiasa dalam perlindungan-NYA.


wallahu alam...

Wednesday, 10 August 2011

Wahai Anakku Muhammad!

Allah melimpahkan berkat
pada engkau,
Wahai anakku dari ibu,
yang sedang menghadapi maut.

Engkau,
diutus Allah kepada manusia
dalam lingkungan Halal dan Haram.
Engkau dibangkitkan Allah
membantu tauhid dan Iman
agama nenek engkau Ibrahim.
Allah melarang engkau
tidak boleh mendekati berhala,
jangan bersama golongan itu.

{ Nukilan sajak Aminah binti Wahab, Ibunda Nabi Muhammad s.a.w. sewaktu akan wafat meninggalkan Muhammad yang berusia 6 tahun dan sedang bermain-main disampingnya.}

Tuesday, 9 August 2011

.:: Ramadhan Kareem ::.

BAHANA "SUKA MEMINTA-MINTA"



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatu…

Alhamdulillah…Syukur kehadrat Allah kerana kita semua  mampu lagi menjalani ibadah dan perintah-Nya untuk Ramadhan hari yang ke-9 pada hari ini. InsyaALLAH, jika berkesempatan pada esok hari jua genap 10 hari kita melaksanakan ibadah berpuasa. Untuk itu, semoga kita semua dikurniakan rahmat agar mampu menamatkan perjalanan Ramadhan sehingga ke penghujungnya. Amin ya Allah…

Seperti biasa, doa Uqhti’ agar sahabat & ikhwan Qhazanah Cinta Ilahi  sentiasa dalam baraqa’ & perlindungan Allah…

Uqhti’ ingin bercerita berkenaaan sedekah di bulan Ramadhan ini khususnya. SEDEKAH yang paling besar pahalanya menurut Rasulullah SAW ialah ketika kita sihat, ketika kita ada rasa takut miskin, ketika kita mengharapkan akan menjadi seorang hartawan dan kaya raya. Pada ketika itulah kita harus segera bersedekah dan pahalanya sangat besar. Tetapi melihatkan kehidupan pada hari ini, Uqhti’ ingin bertanya adakah semua ini kita aplikasikan dan praktikkan dalam diari hidup kita? Tiada bukan? Kita semua lalai dan alpha dengan nikmat dunia sehinggakan kita melupakannya.



Dalam pada itu kita tidak digalakkan meminta sedekah tetapi di anjurkan memberi sedekah kerana tangan yang di atas lebih mulia daripada tangan yang di bawah. Ini membuktikan bahawa pemberi sedekah lebih mulia daripada penerima sedekah. Namun jangan pula apabila kita telah memberi, usahlah dijaja atau diwar-warkan kepada orang lain bahawa kita telah menghulurkannya, dalam erti kata lain memberi sedekah. Ini kerana sifat riak (menunjuk-nunjuk) dan takbur telah menutupi pahala yang dijanjikan Allah untuk pemberi sedekah berkenaan. Seboleh-bolehnya ibadah yang dilakukan  oleh tangan kanan tidak diketahui oleh tangan kiri.

Mereka yang sengaja meminta-minta, terutama dalam keadaan diri yang sebenarnya tidak lagi memerlukan sedekah harus menghayati 2 hadis berikut :-

I]  DARIPADA HAMZAH BIN ‘ABDULLAH (bin Umar) r.a daripada bapanya, katanya Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya orang yang peminta-minta, kelak di hari kiamat, dia akan dating menemui Allah dengan muka tanpa daging. (Hadis 1,000 daripada Kitab Terjemahan Hadis Muslim Jilid I, II, III & IV)

II] DARIPADA ABU HURAIRAH r.a katanya Rasulullah SAW bersabda: Siapa yang meminta-minta kepada orang ramai untuk mengumpul harta kekayaan, bererti dia meminta-minta bara api, sama sahaja halnya apakah yang diterimanya sedikit atau banyak. (Hadis 1,001 daripada Kitab Terjemahan Hadis Muslim Jilid I, II, III,& IV)

 sesungguhnya yang kurang itu datangnya dari Uqhti Cinta Ilahi, dan Allah jua la lebih dari segala-galanya… wallahu alam…

Sunday, 7 August 2011

.:: HADAPILAH HIDUP SEBAGAIMANA ADANYA ::.

.:: Hidup…Hidup…Hidup…Ada apa pada hidup? Apakah itu hidup?Kita hidup untuk apa? Mengapa kita hidup dan bernyawa? Jikalau kita tidak hidup, dimanakah kedudukan kita sekarang ini?Allahu Akbar…Allah Maha Besar! Semua ini telah dicatatkan dan terencana oleh-MU ::.


Entry kali ini Uqhti' Cinta iLahi ingin berkongsi  berkenaan dengan HIDUP.

Keadaan dunia ini penuh nikmat, banyak pilihan, penuh rupa dan banyak warna. Semua ini bercampur baur dengan kecemasan mahupun kesusahan hidup. Dan kita adalah sebahagian daripada dunia yang sedang dalam kesukaran.

Ingatlah ! bahawa kita tidak akan menjumpai seorang ayah, isteri, suami, kawan, sahabat, tempat tinggal, atau pekerjaan yang padanya tidak terdapat sesuatu yang menyukarkan. Lebih daripada itu, adakalanya sebaliknya pada setiap hal itu terdapat sesuatu yang buruk dan tidak kita sukai. Justeru itu, padamkanlah panasnya keburukan pada setiap hal itu dengan sejuknya kebaikan yang ada padanya. Itu jika kita mahu selamat dengan adil dan bijaksana. Hal ini kerana betapa pun setiap luka itu ada harga dan nilainya.

Allah menghendaki dunia ini sebagai tempat bertemunya  dua perkara yang saling bertentangan, dua jenis yang bertentangan, dua kubu yang saling bertentangan dan dua pendapat yang  saling bertentangan yang baik dengan yang buruk, kebaikan dengan kerosakan, kebahagiaan dengan kesedihan. Dan selepas itu, Allah akan mengumpulkan semua yang baik, kebagusan dan kebahagiaan itu di Syurga. Walhal yang buruk, kerosakan dan kesedihan akan dikumpulkan di Neraka.Dunia ini terlaknat, dan semua yang ada di dalamnya terlaknat kecuali Zikir kepada Allah dan semua yang berkaitan dengannya, seorang yang alim dan seorang yang belajar –begitu kata hadis.

Maka jalanilah hidup ini sesuai dengan kenyatan yang datang, jangan hanyut dalam khayalan dan jangan sesekali menerawang ke alam angan-angan. Hadapi hidup ini apa adanya :- kawal jiwa kita untuk dapat menerima dan juga menikmatinya. Bagaimanapun, tidak mungkin semua kawan akan ikhlas kepada kita dan semua perkara sempurna pada pandangan kita. Kerana keikhlasan dan kesempurnaan itu bukan ciri dan sifat hidup dunia.

Adalah sebaiknya kita memaafkan dan berdamai semula, mengambil hal-hal yang mudah kita lakukan, meninggalkan hal-hal yang menyukarkan, menutup mata dari beberapa perkara untuk masa-masa tertentu, memperbetulkan langkah dan berbagai-bagai hal yang menganggu dan tidak perlu.

Kita umpama peminjam atau pun penyewa kepada dunia milik Allah yang hakiki. Oleh yang demikian, bersikap la seperti peminjam yang sebenarnya dengan menjaga dan memelihara sesuatu barang yang bukan kepunyaan kita. Suatu saat nanti, Empunya pemilik akan mengambil hak dan miliknya! Sentiasalah kita semua ber INGAT!

wallahu alam…