Sunday 10 July 2011

Kisah seorang ibu,anak & buah tamar

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Bismillahir Rahmanir Rahim...

Kali ini saya ingin berkongsi mengenai kisah seorang  ibu, anak dan buah tamar (kurma).

Pada satu masa ketika Rasulullah SAW tiada di rumah, seorang perempuan miskin dengan dua orang anaknya hendak bertemu Rasulullah SAW. Oleh kerana Rasulullah SAW tidak ada, perempuan miskin itu bertemu dengan Aisyah RA, isteri Rasulullah SAW.

Oleh kerana kasihan melihatkan perempuan itu dengan dua orang anak perempuannya, Aisyah RA telah memberikan tiga biji kurma. Kurma itu kemudian diberikan kepada anak-anaknya manakala sedikit untuk dirinya. Kedua-dua anaknya memakan kurma itu dengan berselera sekali. Selesai anak-anaknya makan, giliran perempuan itu pula untuk makan sisa kurma untuknya


Tiba-tiba anaknya itu berkata. “ibu, jangan makan kurma itu, kami masih lapar.”

Melihatkan anak-anaknya masih perlukan kurma itu, perempuan itu terus memberikan kurma untuk dihabiskan oleh anak-anaknya. Setelah kenyang, perempuan miskin dengan dua orang anak perempuannya itu pun beredar dari rumah Rasulullah SAW. Tidak lama kemudian, Rasulullah SAW pulang ke rumah. Setelah berehat, Aisyah RA menceritakan peristiwa tadi kepada Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW kemudian berkata, “Barangsiapa yang mempunyai tiga anak perempuan dan mereka sabar dalam mendidiknya sama ada dalam keadaan susah atau senang, dia akan dimasukkan Allah ke dalam Syurga kerana rahmat Allah terhadap anak-anaknya itu.”

Dalam satu peristiwa lain yang ada hubung kait dengan perkara itu, seorang lelaki bertanya, “Bagaimana jika ada dua anak perempuan ya Rasulullah?”

“Walaupun mempunyai dua anak perempuan , seseorang ibu itu juga akan dimasukkan ke dalam Syurga,” jawab Rasulullah.

Kemudian lelaki itu bertanya lagi, “Bagaimana jika hanya ada seorang anak perempuan?”


“Walaupun seorang anak perempuan, ibu itu juga akan dimasukkan ke dalam Syurga.”


Sehubungan itu, Rasulullah SAW menasihati, “Barangsiapa yang mengeluarkan belanja untuk dua orang perempuan dan memiliki saudara perempuan atau kerabat perempuan yang patut disediakan belanja untuk keduanya, sehingga keduanya diberi Allah kecukupan atau kemampuan, mereka akan menjadi pendinding yakni pelindung dari api neraka.”

Wallahu alam…

Surah AL-QURAN Sebagai MAHAR

Mahar atau dalam erti kata lain mas kahwin kadang-kadang menjadi pertikaian bagi mereka yang tidak mampu untuk bernikah. Oleh kerana masalah itu juga, mereka yang ingin bernikah terpaksa menangguhkan atau pun membatalkan rancangan mereka. Peristiwa ini berlaku khususnya pada zaman Rasulullah SAW.

Antara salah satu peristiwa berkenaan mahar:-

Pada suatu hari datang seorang perempuan menemui Rasulullah SAW. Melihatkan daripada raut wajahnya, Rasulullah SAW dapat menduga perempuan itu seperti ada masalah dan meminta Rasulullah SAW untuk menyelesaikannya.  

Setelah teragak-agak beberapa ketika, perempuan itu bersuara, “Wahai Rasulullah, aku serahkan diriku kepadamu.” Perempuan itu lalu tunduk, menunjukkan sikapnya merendah diri. Rasulullah berfikir sejenak kerana inginkan kepastian apakah maksud sebenar perempuan berkenaan. Belum pun sempat soalan itu di jawab, seorang lelaki muda berdiri di sebelah perempuan itu.

“Wahai Rasulullah, kahwinkanlah dia dengan aku jika tuan tidak berhajat kepadanya,” beritahu lelaki itu sambil memandang wajah Rasulullah SAW yang manis itu.

Lalu jawab Rasulullah SAW, “Wahai anak muda, apakah kamu ada sesuatu yang boleh dijadikan mas kahwin untuknya?”

“Saya tidak mempunyai apa-apa selain daripada kain sarung yang saya pakai ini.” ujar lelaki itu dengan jujur.

“Jika kamu berikan kain sarung ini, sudah tentu kamu tidak berkain sarung. Kamu carilah sesuatu yang lain daripada kain sarung ini,” cadang Rasulullah SAW sambil memandang dan memerhatikan lelaki yang pada anggapan Rasulullah SAW yang kurang berkemampuan itu.

Lelaki itu diam sebentar seperti sedang memikirkan sesuatu. Setelah agak lama membisu, akhirnya dia bersuara, “Ya Rasulullah, ketika ini saya memang tidak mempunyai apa-apa,” jelas lelaki itu dengan wajah sedih.

“Kalau begitu, kamu carilah apa sahaja meski pun ia hanya sebentuk cincin besi.” Beritahu Rasulullah SAW memberikan jalan keluar untuk menyelesaikan masalah itu.

Akhirnya lelaki itu mencari cincin besi seperti yang dicadangkan oleh Rasulullah SAW tetapi setelah lama mencari, lelaki itu bertemu semula dengan Rasulullah SAW dengan wajah yang sugul.

“Saya gagal mendapatkan apa yang Rasulullah SAW cadangkan,” luah lelaki itu dengan rasa kecewa.

“ Begini sahajalah. Oleh kerana kamu tidak mempunyai apa-apa untuk dijadikan mas kahwin, adakah kamu menghafal surah-surah Al-Quran?”


“Ada, ya Rasulullah,” ujar lelaki itu sambil membacakan  beberapa surah Al-Quran yang dia hafal antaranya Surah Al-Ikhlas.

“ Kalau begitu, aku nikahkan engkau dengan wanita ini dengan mas kahwinnya surah-surah Al-Quran yang engkau hafal itu,” beritahu Rasulullah SAW kepada pasangan lelaki dengan perempuan itu. Mendengar apa yang dikhbarkan oleh Rasulullah SAW, pasangan itu berasa lega kerana dapat berkahwin walaupun dengan surah-surah Al-Quran yang dihafalnya

.
Dalam hal ini,kebijaksanaan Rasulullah SAW terserlah apabila tidak memaksa pasangan yang tidak berkemampuan bernikah dengan menyediakan mas kahwin yang tidak mampu disediakan. Cuba kita renungkan, betapa mudahnya perjalanan sesebuah perkahwinan pada zaman Rasulullah SAW berbanding ketika ini. Hanya dengan menghafaz Al-Quran, ia boleh dijadikan sebagai mahar @ mas kahwin sesebuah ikatan perkahwinan. Islam itu mudah!.

Di dalam satu hadis lain, Rasulullah SAW pernah bersabda, “Sesiapa yang memberi mas kahwin kepada seorang perempuan berbentuk tepung atau kurma maka dihalalkan perempuan itu baginya dan perkahwinan itu adalah sah.”

wallahu alam...