Tuesday 21 June 2011

HIJRAH - iltizam tahun baru

UMUMNYA hijrah bermaksud berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Penghijrahan komuniti Muslim pada zaman Rasulullah SAW berlaku sebanyak tiga kali. Pertama, hijrah ke Habsyah pada 615 Masihi, kedua juga ke Habsyah pada 617 Masihi dan ketiga ialah hijrah Rasul SAW ke Yathrib pada 622 masihi.

 



Mengenai hijrah ke Yathrib, Rasulullah SAW ada menceritakan dalam hadisnya yang bermaksud: "Aku melihat dalam tidurku aku berhijrah dari Makkah ke satu tanah yang banyak pokok kurma. Pada mulanya aku menyangka Yamamah atau Hajar, rupa-rupanya ia adalah Madinah, iaitu Yathrib." - (Hadis riwayat Bukhari)
Hijrah mempunyai nilai yang tinggi untuk diletakkan harganya, bukan kerana disambut setiap tahun oleh masyarakat Islam di negara ini melalui pelbagai atur cara, lebih dari itu ialah nilai penghayatan yang tersirat dan dipancarkan melalui pengertian penghijrahan itu sendiri.



Nilai penghijrahan yang mesti dihayati itu mempunyai nilai darjatnya yang tinggi di sisi Allah. Penghijrahan mesti dilakukan kerana Allah seperti mana yang diakui Nabi Allah Ibrahim, yang sedia patuh dan tunduk kepada Allah.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya aku akan berpindah ke tempat yang diperintahkan oleh Tuhan." - (Surah al-Ankabut, ayat 26)
Penghijrahan Rasulullah SAW hendaklah dilihat dari pelbagai perspektif membabitkan perancangan strategik dengan melihat ruang dan peluang di tempat baru. Hijrah dilakukan semestinya kerana Allah, demi mendapatkan keredaan-Nya.



Firman Allah yang bermaksud: "Maka orang yang berhijrah, yang diiusir dari kampung halamannya, yang disakiti pada jalan-Ku, yang berperang dan yang dibunuh, pastilah akan Aku hapuskan kesalahan mereka dan pastilah Aku masukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya sebagai pahala di sisi Allah. Dan Allah, pada sisinya pahala yang baik." - (Surah Ali-Imran, ayat 195)

Sebenarnya, urutan peristiwa Penghijrahan Rasulullah dari Mekah ke Yathrib ini bermula apabila pemuka-pemuka Quraisy yang diketuai Abu Jahal berasa tercabar dengan penyebaran Islam di Kota Makkah dalam tempoh 13 tahun itu. Sepanjang tempoh tersebut mereka telah melakukan pelbagai bentuk seksaan dan kezaliman terhadap Muslimin untuk menanggalkan Islam dalam tubuh mereka. Anak isteri dipisahkan, harta benda dirampas, nyawa diragut, dipukul dan diseksa dengan seksaan yang begitu dahsyat dan mengerikan, namun tindakan yang tidak berperikemanusiaan itu tidak berjaya juga menghalang kebangkitan Islam yang semakin luas penyebarannya dari sehari ke sehari.


Pemuka Quraisy yang mewakili kabilah masing-masing telah mengadakan mesyuarat tergempar pada 26 Safar tahun ke 14 kenabian bertempat di Darul Nadwah bagi membincangkan langkah yang akan diambil untuk memusnahkan Islam. Di dalam persidangan itu iblis turut menghadirinya dengan menyamar sebagai Syeikh An-Najd (seorang tua dari Najd) yang turut memberi cadangan dan usul yang jahat. Persidangan itu akhirnya berakhir dengan menerima cadangan dari Abu Al-Aswad agar Rasulullah SAW dibuang negeri dan kemudian menerima pula cadangan dari Abu Al-Buktari yang mencadangkan agar Rasulullah SAW dipenjarakan.
Allah SWT telah mewahyukan kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Jibril mengenai pakatan jahat itu dan memerintahkan agar Rasulullah saw berhijrah ke Yathrib. Firman Allah SWT yang bermaksud "Dan ingatlah wahai Muhammad, ketika orang bukan Islam Makkah menjalankan tipu daya ke atasmu untuk menahanmu atau membunuhmu atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya mereka, kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya" - (Surah Al-Anfal, ayat 30). Rasulullah SAW telah memberitahu sahabat karibnya, Abu Bakar As-Siddiq mengenai makluman dan perintah dari Allah SWT itu dan membuat persiapan dan perancangan untuk berhijrah dari tanah kelahirannya itu.


Ringkasnya, Rasulullah SAW telah memerintahkan Saidina Ali bin Abi Talib, agar berbaring menggantikannya di tempat pembaringan dan menyampaikan beberapa pesanan dan amanah kepada Ali. Helah yang dilakukan oleh Baginda ini berjaya memperdayakan pengintip Quraisy yang telah mengintai tempat pembaringan Rasulullah SAW dan melihat sekujur tubuh sedang tidur yang disangkakan Rasulullah SAW itu. Rasulullah SAW telah berjaya melarikan diri dari kepungan Quraisy tanpa disedari oleh mereka walaupun seorang pun.


Rasulullah SAW bersama Abu Bakar bertolak ke arah selatan menuju ke Gua Thur dan bermalam di dalamnya selama tiga malam. Dalam tempoh itu, Asma dan Aisyah membawa bekalan makanan manakala Abdullah bin Abu Bakar pula menjadi perisik bagi mendengar sebarang berita atau perancangan dari pembesar Musyrikin dan Amir bin Fuhaira' pula mengembala kambing di sepanjang laluan yang telah dilalui oleh Rasulullah SAW dan Abu Bakar bagi menghapuskan kesan-kesan perjalanan mereka berdua itu. Sewaktu Rasulullah SAW dan Abu Bakar berada di Gua Thur ini telah berlaku beberapa mukjizat iaitu wujudnya sarang labah-labah di depan gua dan sebagainya sehingga tidak dapat dikesan oleh pihak musuh.


Pihak Quraisy yang kecewa akibat tidak berjaya menangkap mereka berdua telah mengumumkan beberapa tawaran istimewa berupa ganjaran 100 ekor unta kepada sesiapa yang berjaya memberkas dua orang pelarian yang amat dikehendaki itu. Tawaran ini telah berjaya menarik minat Suraqah bin Malik yang berjaya mengesan jejak mereka berdua dan mengejarnya dari belakang. Namun impiannya untuk mendapatkan 100 ekor unta itu berkecai akibat beliau dan kudanya tersungkur rebah ke tanah.


Nabi Muhammad SAW dan Abu Bakar As-Siddiq meneruskan perjalanan mereka berdua melalui beberapa perkampungan di antaranya Tihama dan melintasi padang pasir yang luas dalam keadaan panas terik yang membakar padang pasir Sahara. Perjalanan yang penuh dengan kesusahan dan keperitan dengan melintasi padang pasir, batu kapur, lembah curam, binatang berbisa, kedinginan malam hari dan pelbagai tribulasi yang menguji Rasulullah dan rombongan penganut Islam. Segala bentuk kepayahan itu berjaya diharungi dengan hanya berbekalkan keimanan, ketabahan, kesabaran, kepatuhan yang tinggi kepada Allah SWT.


Akhirnya Rasulullah SAW bersama Abu Bakar tiba di Quba' pada Isnin 8 Rabiulawal tahun ke-14 Kenabiaan, sebahagian ulama mengatakan hari itu bertepatan dengan 12 Rabiulawal. Baginda menetap di situ selama empat hari dan mendirikan Masjid Quba'.


Maka pada 24 September 622M bergemalah alunan merdu Thola'al Badrul Alaina yang dialunkan sebagai meraikan selamat datang rombongan Rasulullah SAW dengan penuh gembira. Tanpa disangka dan tanpa diduga, golongan Ansar yang dahulunya berperang sesama mereka tetapi akhirnya menerima agama yang menyatukan hati-hati mereka. Sabda Rasulullah yang bermaksud "Barang siapa yang dikehendaki baik oleh Allah, maka diberinya pengertian ad-din" - (Hadis riwayat Bukhari). Kehadiran Islam menyatukan hati yang bersengketa bagi membentuk wahdatul qalb. Islam agama sejahtera ini telah menyatukan puak Ansar yang lama bersengketa itu. Suatu rahmat yang tiada bandingannya. Rahmat keamanan yang menenggelamkan persengketaan.


Renunglah kembali pengertian penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah yang memberi nafas baru kepada suatu perubahan yang besar dalam sejarah kebangkitan ummah. Penghijrahan beberapa orang sahabat ke Habsyah misalnya adalah sekadar penghijrahan biasa saja. bagi melarikan diri dari kezaliman, cemuhan dan seksaan Musyrikin Makkah dan penghijrahan Rasulullah SAW ke Yathrib adalah penghijrahan yang dilakukan atas arahan dan perintah Allah bagi meneruskan perjuangan untuk menegak, mengukuh dan mempertahankan Islam. Firman Allah yang bermaksud "Maka barang siapa yang mengikut petunjuk ku, maka tiadalah dia akan tersesat dan tiada pula akan sengsara" - (surah Al-Baqarah, ayat 38)


Kalangan ulama bersepakat meletakkan peristiwa hijrah sebagai 'zaman baru' yang memberi 'nafas baru' kepada misi penyebaran Islam. Selain daripada tahun hijrah diguna pakai sebagai penanda takwim baru umat Islam, hijrah juga menandakan bermulanya method kehidupan baru melalui pembinaan semula sahsiah dan keperibadian Muslim seperti yang dibentuk dan diperkasakan agama. Perpindahan daripada amalan yang memaparkan kejahilan setelah hilang panduan hidup kepada amalan yang berasaskan disiplin agama yang berpandukan al-Quran.


Menghayati penghijrahan Rasulullah SAW bermakna menghayati falsafah kecekapan dan kepintaran strategi, kesabaran dan kecekalan, keyakinan dan ketegasan, kesungguhan dan bermatlamat. Ia membabitkan semua peringkat masyarakat yang terdiri daripada belia yang diwakili oleh Saidina Ali, golongan dewasa yang diwakili oleh Abu Bakar As Siddiq, golongan korporat yang diwakili oleh Abdul Rahman Auf, golongan wanita yang diwakili oleh Asma' Abu Bakar. Pembabitan kalangan bukan Islam sebagai penunjuk jalan yang diwakili oleh Abdullah Uraiqit juga membantu dalam menjayakan misi penghijrahan ini.


Hari ini dan ketika ini, cerita penghijrahan Rasulullah SAW hanya sekadar catatan yang diabadikan dalam buku sejarah. Seperti cerita sejarah yang lain, cabaran penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah menjadi rakaman sejarah sekadar untuk dibaca sebagai bekalan bagi menjawab soalan peperiksaan. Lebih malang lagi amalan membaca berasaskan orientasi itu akan lupus selepas zaman persekolahan berakhir. Maka jadilah sejarah penghijrahan yang memberi implikasi yang besar maknanya kepada penyebaran Islam itu dilupakan secara berperingkat, jauh sekali untuk dihayati. Sedangkan inti pati dan mesej penghijrahan itu sangat besar dan amat mendalam pengertiannya di sisi agama. Sabda Rasulullah yang bermaksud "Tiada lagi hijrah sesudah pembukaan kota Makkah, tetapi yang tetap ada ialah jihad dan niat untuk berhijrah (apabila keadaan memaksa) dan apabila dipanggil untuk berjihad (atau sebagainya) hendaklah kamu bersiap sedia." - (Hadis Riwayat Bukhari)

Kehadiran tahun Hijrah 1433 yang bakal hadir nanti diharapkan dapat mengubah persepsi Muslim berkaitan isu itu melalui iltizam yang penuh untuk diterjemahkan ke dalam bentuk pelaksanaan. Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang mukmin apabila melakukan dosa bererti ia membuat noda dengan sebuah titik hitam di dalam hatinya. Apabila ia bertaubat, meninggalkan perbuatannya, dan memohon ampun kepada Allah, maka hatinya jernih kembali. Tetapi apabila ia menambah dosanya, maka bertambah pulalah titik hitam itu hingga menutupi seluruh hatinya." - (Hadis Riwayat Ahmad)

No comments:

Post a Comment