Thursday 21 July 2011

Keberkatan Bulan Rejab, Sya'ban & Ramadhan



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatu…

Apa khabar semua sahabat-sahabat Qhazanah Cinta Ilahi? Juga tidak dilupakan kepada para penziarah blog sekalian..harapan saya,moga kalian sentiasa dalam baraqa’ & perlindungan Allah…Kurang beberapa hari lagi Ramadhan akan menjelma, begitu berlalunya Rejab maka Sya'ban juga akan turut melabuhkan tirainya Ahad depan. Adakah rakan-rakan telah bersedia dengan kedatangan Ramadhan kali ini?
Setiap bulan mempunyai keistimewaan tersendiri dan kerana itu bagi yang mengetahui, tidak sabar menanti kehadirannya untuk mengumpul sebanyak mungkin pahala. Sesungguhnya, Allah menganugerahkan rahmat kepada hamba-hamba-Nya dalam bulan berkenaan. Rejab mulia kerana Isra’ Mikrajnya, Sya’ban dengan malam Nifsu Sya’bannya manakala Ramadhan dimuliakan dengan Lailatul Qadarnya.

Antara rahmat Allah yang terbesar kepada hamba-Nya adalah dengan melibatgandakan pahala setiap amalan yang dilakukan dalam bulan itu. Wahai muslim & muslimah sekalian, sebagai hamba-Nya kita perlu menjadi insane yang tamak dalam urusan amal ibadat ini. Kautlah sebanyak mana keuntungan dan kemuliaan kerana ia hanya datang sekali setahun.
Janganlah mengambil sikap menangguh dalam urusan amal ibadat kerana terlalu sibuk dengan urusan dunia. Buangkan dalam fikiran masih ada masa lagi tahun akan datang. Ingatlah, masa sentiasa bergerak dan tidak akan berpatah balik dan kita tidak pasti tahu depan kita masih hidup, sihat atau sibuk.
Allah Maha Melihat atas apa yang kita lakukan. Allah Maha Mendengar atas apa yang kita ucapkan. Allah Maha Tahu apa yang kita lintaskan dalam hati. Allah memberikan ganjaran atau balasan berdasarkan sejauh mana kita berusaha menghampirkan diri kepada Allah. Jika kita bersungguh-sungguh beramal mencari keredhaan Allah, Allah akan member balasan setimpal dengan usaha yang disumbangkan. Sebaliknya jika di dunia kita tidak mengambil pusing akan urusan ibadat, maka suadah tentu Allah tidaka akan mempedulikan perihal hidup kita di dunia dan di akhirat.
Antara amalan-amalan yang dijanjikan limpahan pahala dan baraqa’ adalah :-
Amalan pada waktu siang ialah puasa, solat sunat, tasbih, selawat, membaca Al-Quran, istighfar, sedekah dan seumpamanya.
Manakala waktu malam di isi dengan solat tahajjud, solat sunat tasbih, zikir, tasbih, selawat, membaca Al-Quran dan istighfar. Sepanjang Rejab, Allah melipatgandakan pahala dan keampunan serta mengangkat darjat di dalam syurga.
Selain berpuasa, umat islam di galakkan beristighfar. Bacalah doa istighfar Rejab yang banyak dinukilkan di dalam kitab-kitab. Allah banyak melimpahkan keampunan dan rahmat yang tidak diberi pada bulan-bulan lain.
Amalan sedekah juga dibalas dengan ganjaran yang banyak. Dicatatkan bahawa barangsiapa bersedekah dalam bulan Rejab diberi ganjaran setiap sehelai bulu roma di tubuhnya dengan 1000 kebajikan, diangkat 1000 darjat dan dihapus 1000 kejahatan.
Bersabar di atas segala kesusahan atau bala. Sekiranya kita bersabar atas segala kesusahan yang ditimpakan, Allah akan meningkatkan darjat kita sebagai manusia.
Sentiasa bersyukur dalam setiap yang dikurniakan. Diberi senang kita bersyukur, ditimpahkan kesusahan kita bersabar. Ada wang atau tidak sama sahaja kerana semua itu adalah ujian. Sungguh banyak sekali keterangan ulama mengenai ganjaran dan kebesaran Rejab. Yang lebih penting bukan setakat menghuraikan kelebihan tetapi sejauhmana kita mengamalkan atau mengambil peluang daripada tawaran Allah ini.
Adakah tindak balas kita sama hebat ketika mendengar ada jualan murah dengan tawaran Allah yang menjanjikan kemuliaan di bulan Rejab, Sya’ban dan Ramadhan. Tawaran yang kekal abadi serta menjamin kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Sehubungan itu, buatlah ujian pada diri sendiri dengan melihat sejauhmana kita member respon terhadap tawaran ukhrawiah dan apakah respon kita terhadap tawaran dunia. Bandingkan kecenderungan atau kemahuan diri kita apabila berhadapan dengan kedua-dua tawaran ini.
Yang mana lebih menggiurkan atau menyelerakan??? Dari sini barulah kita tahu pendirian dan sikap kita. Tepuk dada tanyalah iman. Hanya diri sendiri yang lebih mengetahui rahsia diri peribadi. Bertolak dari sini, barulah kita dapat memperbetulkan hala tuju yang perlu diambil untuk keselamatan diri kita di dunia dan akhirat.
Sesudah itu barulah kita boleh menaruh harapan dalam perjalanan bertemu Yang Esa. Harapan kita biarlah kita untung dan bahagia di dunia dan di akhirat. Sama-samalah kita berusaha kearah memperbaiki hidup sepanjang bulan Rejab ini,supaya Allah menambahkan ketaqwaan dan kekuatan kepada kita untuk melakukan amal ibadat dalam bulan Sya’ban dan Ramadhan yang bakal menjelang beberapa hari lagi.
Semoga kita berpeluang bertemu dan berada dalam bulan yang paling mulia – Ramadhan dan semoga kita sentiasa mendapat keredhaan Allah….
Amin Ya Allah...

wallahu alam...




petikan dan  sumber :- GrupMajalah Karangkraf  ( majalah NUR Edisi Julai '11)

No comments:

Post a Comment