Friday 5 August 2011

ANTARA SAHABAT DAN IKHWAN

 بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Bismillahir rahmanir rahim...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatu…ahlan wasahlan wa marhaban bikum...

Jika sebelum ni, Uqhti' berbicara berkenaan Solat Sunat Teraweeh di Surau Al-Amin, salah sebuah surau di kawasan perumahan Uqhti'. Kali ini Uqhti berkongsi berkenaan cerita "Antara Sahabat dan Ikhwan". Dialog atau pun musyawarah antara Rasulullah s.a.w bersama sahabat-sahabat baginda.

Cuba ikuti cerita di bawah ini, mudah-mudahan ia sedikit sebanyak menambah”galeri ilmu kita” :-



Pada suatu hari terjadi percakapan di antara Rasulullah s.a.w dengan Abu Bakar Siddiq. Sahabat-sahabat yang lain pun ada mendengarkannya.

"Wahai Abu Bakar, begitu rinduku hendak bertemu dengan saudara-saudaraku (ikhwan)" berkata Rasulullah s.a.w.

"Wahai Rasulullah, bukankah kami ini teman-teman engkau?" jawab Abu Bakar.

"Bukan!" jawab Rasulullah s.a.w.

"Kamu ini adalah sahabat-sahabatku," selanjutnya Rasulullah s.a.w berkata, dan menegaskannya.
Keterangan Rasulullah itu sungguh menghairankan Abu Bakar, juga sahabat-sahabat lain yang hadir. Apakah bezanya antara sahabat dan ikhwan, siapakah yang dimaksudkan Rasulullah s.a.w itu dengan penuh kerinduan?. Demikian persoalan bermain dalam fikiran mereka dan suasana musyawarah menjadi lebih serius kerana masing-masing ingin tahu mengenainya, malahan ini persoalan yang belum pernah mereka dengar dari Rasulullah s.a.w.

Rasulullah segera memahami suasana yang ada bila keterangan baginda mengejutkan Abu Bakar dan sekalian sahabat yang ada di majlis itu. Maka, segeralah baginda menghuraikannya.

"ikhwan (saudara-saudara) ku."

"Mereka belum pernah melihat aku, tetapi mereka beriman dengan aku sebagai Rasulullah dan mereka mencintaiku. Aku dicintai melebihi dari anak dan orang-orang tua mereka."

"Ya Rasulullah, bukankah kami ini ikhwan engkau?" bertanya sahabat baginda, mereka masih merasa hairan dan ingin tahu penjelasan Rasulullah s.a.w selanjutnya.

"Kamu semua adalah sahabat-sahabatku," jelas Rasulullah s.a.w.

"Wahai Abu Bakar, adakah engkau tidak akan merindui kepada ikhwanku itu kerana mereka juga mencintai engkau kerana engkau sahabatku?" Demikian Rasulullah s.a.w menjelaskan perkara itu.

Begitulah Rasulullah menerangkan bahawa mereka itu adalah umat sesudah wafatnya baginda. Mereka itu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya walaupun mereka tidak pernah bertemu dengan baginda. Mereka membaca Al-Quran dan Hadis dan kerana itu mencintai Nabinya sebagai Rasul Allah yang penghabisan. Mereka juga mencintai Abu Bakar Siddiq dan sahabat-sahabat Nabi yang berjuang dalam menegakkan Islam.

Dalam satu waktu yang lain, baginda membicarakan kepada sahabat-sahabat tentang kemurnian iman ikhwan dan sekali lagi mereka berasa kehairanan dengan keadaan tersebut.
"Siapakah makhluk Allah yang paling ajaib imannya?" demikian Rasulullah bertanya kepada sahabat.

"Malaikat," jawab mereka.

"Bagaimana malaikat tidak beriman kepada Allah sedangkan mereka sentiasa hampir dengan Allah?" jawab baginda.

"Para Nabi," jawapan mereka lagi.

"Bagaimana Nabi tidak beriman kepada Allah sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka?" Rasulullah membantah jawapan mereka.

"Kami," jawab sahabat lagi.

"Bagaimana kamu tidak akan beriman sedangkan aku berada di tengah-tengah kamu?" jawab Rasulullah lagi.

Betapa hairannya para sahabat mendengarkan jawapan-jawapan Rasulullah s.a.w itu dan mereka sudah cukup memahaminya. Manakala Rasulullah sedia maklum betapa mereka amat ingin mengetahui siapakah makhluk ini, yang paling ajaib imannya.

"Makhluk yang paling ajaib imannya ialah mereka yang hidup sesudah aku. Mereka membaca Al-Quran dan beriman dengan semua isinya."
Rasulullah pernah menegaskan lagi tentang kemurnian iman ikhwan ini dalam sabdanya: "Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman dengan aku. Dan berbahagialah 7 kali orang-orang yang beriman dengan aku, tetapi tidak pernah berjumpa dengan aku."

Demikian Rasulullah s.a.w mencintai ikhwan itu.

wallahu alam...








No comments:

Post a Comment